Xiaomi sejak memperkenalkan siri Ultra dengan kamera Leica, tidak berhenti membangunkan pelbagai teknologi berkaitan fotografi. Xiaomi 14 Ultra tahun ini dilancarkan dengan kit kamera yang mengubah peranti menjadi kamera nircermin. Baru-baru ini di China, monopod memfokuskan zum pula dilancarkan.

Xiaomi Zoom Floor Selfie Stick diperkenalkan sebagai monopod yang boleh mengawal rakaman zum yang jitu. Alat kawalan yang diintegrasikan boleh mengawal zum yang tepat pada setiap 0.1x. Monopod ini mempunyai ketinggian maksimum 1.6 meter dengan 10 tahap tinggi berbeza. Ia turut mempunyai kaki agar boleh diubah menjadi tripod.

Monopod ini diperbuat daripada aloi zink, kaki mempunyai getah untuk cengkaman dan pemegang peranti turut boleh berputar untuk pengguna mempunyai kebebasan merakam pelbagai kandungan dalam pelbagai format. Buat masa ini, ia hanya dijual di China pada harga RMB149 iaitu sekitar RM92.

