PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sinar Harian merangkul Anugerah Media Lebuh Raya Terbaik pada Anugerah Industri Lebuh Raya 2026 (AIL 2026) pada Khamis.
Kemenangan itu diperoleh menerusi laporan khas bertajuk ‘Konflik Tanah 150 Meter Rencatkan Kemajuan WCE’ yang dihasilkan oleh wartawan Nurul Huda Husain, Norafidah Assan dan Mohd Izzatul Izuan Tahir.
Hadiah berkenaan disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sebanyak 20 anugerah disampaikan kepada pelbagai kelompok dalam ekosistem lebuh raya, termasuk pengamal media.
Program anjuran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah LLM, Mohd Hadzmir Yusoff.
Laporan bertarikh 8 Oktober 2025 itu mengetengahkan isu kelewatan pembinaan projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) susulan konflik pengambilan tanah membabitkan 19 pemilik tanah di Kampung Jawa, Klang.
Keengganan pemilik tanah terbabit mengosongkan kediaman di jajaran sepanjang 150 meter dikenal pasti sebagai punca utama projek berkenaan tergendala walaupun pembinaannya ketika itu sudah melebihi 90 peratus.
WCE merupakan projek infrastruktur utama negara sepanjang 233 kilometer (km) yang menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak.
Lebuhraya itu turut berfungsi sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Konflik berkenaan bukan sahaja menyebabkan kerja pembinaan di Seksyen 3 tergendala lebih 20 bulan, malah menjejaskan kemajuan keseluruhan projek yang diumumkan pada 2012 dengan jangkaan kos RM7.07 bilion.
Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE – E32), Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada pasukan wartawan Sinar Harian atas kejayaan tersebut.
Menurutnya, kejayaan itu amat bermakna buat WCE kerana laporan mengenai isu pengambilan tanah di Seksyen 3, Kampung Jawa, berjaya memberikan pencerahan kepada masyarakat menerusi liputan yang berfakta, objektif dan seimbang.
"Liputan tersebut turut memainkan peranan penting dalam mendorong penyelesaian isu berkenaan secara aman dan harmoni, hasil kerjasama semua pihak serta tindakan pihak berkuasa berlandaskan peruntukan undang-undang.
"Kini, WCE kembali berada di landasan yang tepat untuk menyiapkan Seksyen 3 menjelang akhir tahun ini. Kejayaan ini membuktikan betapa besarnya peranan kewartawanan bertanggungjawab sebagai pemangkin kepada pembangunan negara," katanya.





