
GEORGE TOWN : Sindiket pengedaran dadah rentas sempadan Malaysia-Thailand yang menggunakan kenderaan diubah suai dengan kompartmen khas untuk menyembunyikan bahan terlarang tumpas selepas polis merampas 252.2 kilogram (kg) methamphetamine bernilai kira-kira RM4.31 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kejayaan itu hasil kerjasama risikan antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Police Narcotics Suppression Bureau (PNSB), Royal Thai Police.
Menurutnya, operasi tersebut turut membawa kepada penahanan empat suspek, masing-masing tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 19 hingga 25 tahun.
“Kes terbabit bermula selepas Polis Daerah Hua Hin di Thailand menahan seorang lelaki warga Malaysia dalam sekatan jalan raya pada 8 Ogos lalu.
“Pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan BMW yang dipandunya menemukan 166 kg methamphetamine. Susulan tangkapan itu, PNSB menjalankan siasatan dan berkongsi maklumat risikan dengan JSJN Bukit Aman sebelum Op Zoraptera dilancarkan bagi menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah Malaysia-Thailand,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan itu membawa kepada tiga serbuan di Selangor dan Pulau Pinang pada 13 dan 14 Ogos lalu membawa kepada penahanan empat suspek, terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 19 hingga 25 tahun.
“Seorang daripada lelaki berkenaan merupakan suami kepada wanita warga Thailand itu. Tindakan susulan di Butterworth, Pulau Pinang menjumpai sebuah kereta Nissan Teana di kawasan parkir berhampiran sebuah hotel dan menemukan 83 bungkusan disyaki methamphetamine seberat kira-kira 86.2 kg,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan turut mengubah suai struktur kenderaan bagi menyediakan ruang khas atau kompartmen tersembunyi untuk menyimpan dan mengangkut dadah.
“Mereka memperoleh dadah dari negara jiran sebelum menyeludupnya masuk ke Malaysia menggunakan kenderaan berdaftar di Malaysia yang telah diubah suai. Risikan mendapati dadah berkenaan adalah untuk pasaran tempatan dan kemungkinan turut dibawa ke negara lain,” katanya.
Dennis berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Jun lalu dan setiap penghantaran membabitkan upah kira-kira RM6,000 bagi setiap anggota yang terlibat sebagai transporter.
Sementara itu katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati, seorang daripada suspek positif ketamin manakala kesemua mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Dalam operasi itu, JSJN turut menyita lima kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM420,700 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi ini dianggarkan RM4.73 juta,” katanya.-UTUSAN
The post Sindiket dadah rentas sempadan bernilai RM4.31 juta tumpas appeared first on Utusan Malaysia.






