
LONDON: Pemandu sebuah kenderaan Ferrari bernilai £260,000 (RM1.4 juta) terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas hilang kawalan di lebuh raya hingga menyebabkan kenderaan mewah itu remuk teruk.
Polis Greater Manchester memaklumkan bahawa pemandu Ferrari 296 tempahan khas itu hilang kawalan di lebuh raya M602 berhampiran Eccles, Salford ekoran hujan lebat pada Ahad.
Pihak berkuasa itu kemudian berkongsi sekeping gambar kenderaan berprestasi tinggi yang musnah itu di platform X, bersama amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Malangnya bilangan Ferrari 296 di dunia berkurangan satu unit pagi ini selepas pemandunya hilang kawalan berikutan jalan licin di M602, Salford.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Namun, dipohon semua pihak agar memandu mengikut keadaan cuaca demi keselamatan bersama,” tulis pihak polis menerusi hantaran berkenaan.
Sebuah kenderaan baharu Ferrari 296 dijual pada harga bermula £259,695 (RM1.41 juta). Bagaiamanpun, model tempahan khas boleh mencecah antara £320,000 (RM1.74 juta) hingga £330,000 (RM1.8 juta).
Kawasan Salford dan sekitarnya dilanda hujan lebat pada Ahad berikutan hujan renyai sehari sebelumnya, dengan suhu persekitaran merosot sehingga 13 darjah Celsius. – AGENSI
The post Ferrari terlibat kemalangan remuk teruk di lebuh raya appeared first on Utusan Malaysia.






