SHAH ALAM - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus dikesan menjadi antara hab transit utama sindiket pengedaran dadah antarabangsa, dengan rampasan mencecah 653.6 kilogram (kg) bunga ganja dalam tempoh enam bulan tahun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, trend itu menunjukkan Malaysia kekal sebagai negara transit dalam rantaian pengedaran dadah antarabangsa, khususnya melibatkan sindiket yang menggunakan KLIA sebagai laluan masuk dan keluar.
"Kita bersama pihak keselamatan KLIA sentiasa melakukan operasi selain memperketatkan pengawasan dan pengimbasan di pintu masuk negara.
"Semua bunga ganja didapati dibawa masuk negara-negara sekitar ASEAN. Memang ada permintaan di negara ini namun banyak dadah itu dihantar ke negara sekitar Eropah
"Jadi, kita akan perkemaskan dari masa ke semasa dalam memastikan KLIA tidak menjadi pusat pengedaran peringkat antarabangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Rabu.
Shazeli berkata, sepanjang tempoh berkenaan seramai 38 individu ditangkap dengan 28 daripadanya telah dituduh di mahkamah.
"Nilai rampasan bunga ganja sukar ditentukan kerana berubah-ubah dan tiada statik harga bagi setiap kali transit dan berbeza antara sindiket terlibat.
"Bagi tangkapan terbaharu bermula 17 Jun hingga kelmarin berjaya menahan empat individu termasuk seorang lelaki tempatan yang menjadi keldai dadah.
"Penangkapan dilakukan sekitar Terminal KLIA dan sebuah hotel di Bandar Enstek, Negeri Sembilan serta rumah di Banting, Kuala Langat," katanya.
Tambahnya, siasatan mendapati lelaki tempatan itu mendapat upah antara RM400 hingga RM500 manakala tiga lelaki warga asing mengikut tukaran mata wang asing negara asal mereka.
"Dalam serbuan itu, kita turut mempercayai sebuah rumah di Banting dijadikan sebagai stor penyimpanan bunga ganja itu.
"Secara keseluruhannya sebanyak 171.6 kg bunga ganja dirampas dengan nilai keseluruhan RM13.73 juta selain menyita kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dan mata wang kertas 250 pound sterling dan 85 Singapura Dollar 85," ujarnya.
Mengulas lanjut, Shazeli berkata, keempat suspek itu kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.




