JOHOR BAHRU - Satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Mei lalu berjaya ditumpaskan susulan penahanan dua lelaki di sebuah pangsapuri di Masai dan Taman Ehsan Jaya di sini, 5 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, serbuan pertama di pangsapuri yang disewakan itu menahan lelaki berusia 30 tahun yang membawa kepada rampasan dadah seberat 96.76 kilogram bernilai RM8.49 juta.
Menurutnya, serbuan kedua di Taman Ehsan Jaya berjaya menahan lelaki berusia 34 tahun bagaimanapun tidak menemui sebarang dadah.
“Polis merampas pil erimin 5 dengan anggaran berat 41.74 kilogram (kg) bernilai RM4.174 juta, 53,000 biji pil ekstasi seberat 23.11kg bernilai RM3.47 juta, 290 paket plastik disyaki serbuk ekstasi bernilai RM87,000, 13 paket plastik disyaki ketamin bernilai RM590,000 dan dua paket berisi serbuk MDMA bernilai RM178,500.
“Polis turut menyita empat buah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM100,000 yang menyaksikan nilan rampasan dan sitaan keseluruhan berjumlah RM9.44 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media berhubung kejayaan rampasan dadah itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru pada Selasa.
Ab. Rahaman berkata, siasatan mendapati, suspek pertama berperanan sebagai penjaga stor manakala suspek kedua dipercayai pembantu kepada dalang yang membayar gaji suspek utama.
“Modus operandi sindiket ini menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Menurutnya, jumlah dadah yang dirampas mampu merosakkan sekitar 392,098 orang.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.






