JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan berusia 16 bulan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera dan bunuh nenek tirinya yang menjaganya sejak lahir di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi pada 31 Julai lalu.
Ibu bayi itu menyerahkan penjagaan anaknya kepada wanita berkenaan kerana masih menuntut di sebuah kolej vokasional di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan mengenai kejadian diterima daripada nenek tiri mangsa berusia 39 tahun, kira-kira jam 9.30 pagi pada 31 Julai lalu.
Menurutnya, wanita itu mendakwa bayi berkenaan tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan daripada tidur.
"Petugas kesihatan kemudian dipanggil bagi memberikan bantuan pernafasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian jam 10.30 pagi hari yang sama.
“Siasatan awal dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan mangsa sehingga meninggal dunia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, Selasa.
Ab Rahaman berkata, bedah siasat dijalankan Pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang pada jam 10.15 pagi, 2 Ogos lalu mendapati punca kematian akibat trauma pada bahagian perut dan dada disebabkan objek tumpul.
“Pemeriksaan juga menemui kesan luka dan lebam di badan mangsa dipercayai akibat penganiayaan,” katanya.
Susulan penemuan itu, beliau berkata, kertas siasatan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, polis kemudian menahan nenek tiri mangsa, datuk serta ibu mangsa bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada senjata dirampas dalam kes berkenaan.
“Nenek tirinya akan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok manakala dua lagi yang ditahan dibebaskan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.





