Sindiket judi kaut keuntungan hampir RM1 juta sebulan tumpas

LocalPolitics
4 May 2026 • 6:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket judi kaut keuntungan hampir RM1 juta sebulan tumpas
Mohd Rusdi (tiga dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan sindiket judi dalam talian di Puteri Harbour, Iskandar Puteri.

JOHOR BAHRU - Taktik sindiket perjudian dalam talian menjadikan negara ini sebagai pusat operasi terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menumpaskan kegiatan didalangi warga asing dalam serbuan di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Rabu lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menjadikan negara ini sebagai ‘hub’ untuk mengendalikan urus niaga perjudian membabitkan pemain dari luar negara termasuk Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurutnya, operasi tersebut bukan sahaja mendedahkan kegiatan judi dalam talian, malah menunjukkan bagaimana sindiket antarabangsa mengeksploitasi kemudahan komunikasi dan sistem kewangan rentas sempadan.

“Walaupun beroperasi di Malaysia, semua pemain adalah dari luar negara dan transaksi kewangan juga berlaku di negara asal mereka.

“Operator di sini hanya berperanan mengurus akaun, memasukkan kredit permainan serta menyelaras aktiviti perjudian,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika pada Isnin.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa menahan lapan individu termasuk dua lelaki warga China, lima wanita warga Thailand serta seorang kanak-kanak lelaki.

Tambah beliau, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan anggaran keuntungan mencecah RM900,000 sebulan.

Katanya, penemuan ini membuktikan Malaysia masih menjadi sasaran sindiket antarabangsa untuk dijadikan pusat operasi kerana faktor lokasi strategik dan infrastruktur yang baik.

“JIM akan terus mempergiat operasi bagi mengekang kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan semua suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut.