Sindiket pekerjaan: Lima mangsa selamat kembali ke tanah air

20 Feb 2023 • 8:30 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Lima rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Thailand semalam.

Kementerian Luar (KLN) dalam kenyataan semalam memaklumkan mangsa berkenaan telah berjaya melarikan diri ke Thailand dan diselamatkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum melalui proses deportasi dan dihantar pulang ke Malaysia.

“Kepulangan mangsa berusia 19 hingga 26 tahun diiringi oleh pegawai daripada KLN dan PDRM yang telah mengadakan lawatan kerja ke Thailand dari 16 hingga 19 Feb,“ menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand atas kerjasama baik diberikan dalam usaha mengesan serta menyelamat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan itu dan mempercepatkan proses penghantaran pulang mangsa ke Malaysia.

Menurut kenyataan itu Wisma Putra telah membawa pulang 382 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan di Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

“KLN amat memandang serius akan permasalahan ini dan menggesa orang ramai untuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KLN sekiranya ada antara ahli keluarga yang disyaki menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

“KLN ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan terutamanya yang diterima melalui media sosial, aplikasi mudah alih atau secara dalam talian,“ menurut kenyataan itu. - Bernama