Sindiket Penipuan Pelaburan: RM2.48 Juta Lesap Setiap Hari Sejak 2023

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 1:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sindiket Penipuan Pelaburan: RM2.48 Juta Lesap Setiap Hari Sejak 2023

KUALA LUMPUR - Negara merekodkan kerugian kira-kira RM2.48 juta sehari akibat kegiatan sindiket penipuan pelaburan sepanjang tempoh tiga tahun sejak 2023.

Statistik menunjukkan jumlah kerugian itu bersamaan kira-kira RM103,383 sejam, RM1,722.45 seminit dan RM28.72 sesaat akibat kegiatan penipuan berkenaan.

Nisbah tersebut berdasarkan keseluruhan statistik direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 2023 hingga Julai tahun ini, membabitkan 26,196 kes dengan jumlah kerugian RM3.24 bilion.

Berdasarkan taktik yang dikesan, sindiket penipuan pelaburan bukan sahaja memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan menggunakan imej individu atau tokoh terkenal, malah turut mengeksploitasi elemen Islam bagi meyakinkan mangsa.

Sindiket berkenaan turut dikesan mempunyai rangkaian dengan sindiket penipuan akaun dan perkara itu dibuktikan menerusi rekod 14,591 tangkapan serta 6,571 pertuduhan yang dijalankan JSJK.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata sindiket lazimnya mempromosikan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat, kononnya dengan risiko rendah atau tanpa sebarang risiko.

Menurutnya, sindiket menggunakan media sosial, aplikasi pesanan, laman sesawang serta kumpulan pelaburan dalam talian untuk menarik perhatian mangsa.

“Sindiket turut memaparkan testimoni palsu, keuntungan palsu serta menggunakan identiti individu berpengaruh atau syarikat tertentu bagi mewujudkan gambaran bahawa skim berkenaan sah sekali gus meningkatkan keyakinan mangsa.

“Mangsa kemudiannya dipujuk membuat pelaburan awal sebelum diminta membuat bayaran tambahan atas alasan seperti cukai, caj pemprosesan atau pengaktifan keuntungan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabat JSJK baru-baru ini.

Rusdi berkata, berdasarkan kes yang direkodkan, terdapat mangsa yang menggunakan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain meminjam wang daripada rakan, institusi kewangan dan pihak lain untuk membuat pelaburan.

Katanya, ada mangsa yang terus melabur selama berbulan-bulan sebelum akhirnya mengalami kerugian sehingga RM3 juta, dan hanya menyedari mereka ditipu selepas mengalami kerugian besar.

“Pelbagai bentuk pelaburan ditawarkan termasuk emas, saham, pertanian, tanah, produk makanan dan minuman, bitcoin serta lain-lain.

“Modus operandinya pelbagai. Mereka menggunakan media sosial dan platform digital dengan menawarkan keuntungan tinggi, menjanjikan pulangan sehingga 300 peratus, mendakwa skim itu patuh syariah serta menjanjikan keuntungan dalam tempoh singkat.

“Bagi mendapatkan kepercayaan mangsa, pelaburan awal biasanya akan menunjukkan keuntungan terlebih dahulu sebelum mangsa terdorong menambah jumlah wang yang dilaburkan. Sindiket ‘memancing’ mangsa terlebih dahulu sehingga akhirnya mereka kehilangan jutaan ringgit,” katanya.

Rusdi berkata, walaupun suspek telah ditangkap, JSJK tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan kembali beroperasi dengan menggunakan nama, syarikat atau platform berbeza bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Berdasarkan tangkapan, mereka turut dikesan berperanan sebagai penyedia akaun keldai.

“Kami memantau media sosial 24 jam sehari dengan meneliti petunjuk tertentu sebelum memaklumkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan,” katanya.

Beliau berkata, jenayah dalam talian tahun lalu merekodkan kerugian kira-kira RM2.9 bilion, dengan pelaburan tidak wujud menyumbang sebanyak RM1.5 bilion daripada jumlah berkenaan.

“Kes ini amat membimbangkan kerana terdapat mangsa yang mengeluarkan modal sehingga lebih RM1 juta, namun akhirnya hanya berbaki RM300 dalam akaun mereka,” katanya.

Menurut Rusdi, sindiket yang menggunakan video atau gambar palsu yang dijana AI membabitkan individu terkenal turut menjadi antara kaedah untuk mempengaruhi mangsa supaya menyertai skim pelaburan.

Sementara itu, pekerja sektor swasta mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 13,241 orang, mewakili lebih separuh daripada keseluruhan mangsa yang direkodkan.

“Ini diikuti pesara, individu tidak bekerja, penjawat awam dan ahli perniagaan.

“Selain itu, berdasarkan analisis statistik mengikut jantina, mangsa lelaki mencatatkan jumlah lebih tinggi iaitu 15,021 orang, berbanding 11,175 mangsa wanita,” katanya. - Getaran, 7 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved