Sindiket scam menyamar jadi polis India, ‘kebas’ RM1.4 juta

12 Oct 2026 • 5:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sindiket scam menyamar jadi polis India, ‘kebas’ RM1.4 juta

ALOR SETAR – Polis Kedah membongkar taktik sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai polis India dengan memakai uniform pasukan itu ketika membuat panggilan video bagi memperdaya mangsa di negara tersebut.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu pusat panggilan penipuan sindiket berkenaan di Bandar Putra, Kulim kira-kira pukul 8 malam, Jumaat lalu.

Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak penghujung Ogos lalu dengan menjadikan lima lot rumah kedai tiga tingkat sebagai pusat operasi.

“Dalam serbuan itu, kita menahan seramai 48 individu disyaki ahli sindiket berusia antara 20 hingga 43 tahun. Mereka terdiri daripada tujuh lelaki tempatan, 28 lelaki dan lima wanita Pakistan serta enam lelaki dan dua wanita India.

“Polis turut merampas 89 telefon bimbit, tujuh komputer riba, modem, router, monitor serta tiga helai baju seragam polis India, dua topi dan bendera Central Bureau of Investigation (CBI) India,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM70,000, manakala kesemua suspek direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Adzli berkata, analisis peralatan dan skrip penipuan yang dirampas mendapati seramai 73 individu di India menjadi mangsa sindiket itu dengan kerugian hampir RM1.4 juta bersamaan 33 juta rupee.

Katanya, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi Telegram dan skrip tertentu untuk memperdaya mangsa dengan mendakwa nombor telefon mereka terlibat dalam kesalahan undang-undang di negara berkenaan.

“Mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang daripada akaun bank mereka ke akaun yang diberikan kononnya bagi tujuan siasatan polis,” ujarnya.

Beliau berkata, pakaian seragam polis India dan bendera CBI digunakan bagi meyakinkan mangsa bahawa mereka berurusan dengan pihak berkuasa sebenar.

Katanya, siasatan mendapati sebahagian warga asing yang ditahan mendakwa memohon pekerjaan sebagai operator pemasaran telefon melalui iklan di media sosial sebelum dimasukkan ke kumpulan Telegram dan dijanjikan gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM3,500.

“Semua warga asing terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Dalam operasi susulan pada Ahad lalu, polis turut menahan lima individu tempatan berusia antara 44 hingga 51 tahun, terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita yang dipercayai pemilik premis, ejen hartanah dan penyewa.

“Sindiket dipercayai menyewa bangunan premis tiga tingkat itu dengan bayaran kira-kira RM15,000 sebulan, selain kesemua suspek dikatakan tidak keluar dari situ dan makan di kantin yang disediakan di bangunan itu,” katanya.

Tambahnya, kejayaan operasi itu turut dibantu maklumat orang awam yang mengesan pergerakan mencurigakan di premis berkenaan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

The post Sindiket scam menyamar jadi polis India, ‘kebas’ RM1.4 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved