Penipuan Jual Beli Kereta Terpakai, 2 Lelaki Rugi RM25,000 

LocalCars
11 Oct 2026 • 4:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Penipuan Jual Beli Kereta Terpakai, 2 Lelaki Rugi RM25,000 

MIRI - Dua lelaki mengalami kerugian keseluruhan RM25,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan jual beli kereta terpakai yang membabitkan individu menyamar sebagai orang tengah.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohamad Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua mangsa berusia 41 dan 45 tahun pada 8 Oktober lalu.

Dalam kes pertama, mangsa berusia 41 tahun tertarik dengan iklan penjualan sebuah Perodua Myvi 1.3 automatik berwarna hitam keluaran 2013 pada harga RM4,500 menerusi media sosial.

Mangsa kemudian menghubungi individu yang mendakwa sebagai orang tengah melalui aplikasi pesanan sebelum memeriksa kereta berkenaan di Miri dan berpuas hati dengan keadaannya.

Mangsa seterusnya diarahkan membuat tiga transaksi berjumlah RM6,000 ke dalam dua akaun bank milik pihak ketiga.

“Mangsa mendapati pemilik sebenar kenderaan itu tidak menerima wang berkenaan dan menafikan memberi kebenaran kepada mana-mana individu untuk menjadi orang tengah dalam urusan jual beli tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kes kedua, seorang lelaki berusia 45 tahun tertarik dengan iklan penjualan sebuah Toyota Estima Aeras pada harga RM22,000 menerusi dalam talian.

Mangsa kemudian pergi ke Batu Niah pada 7 Oktober lalu untuk memeriksa dan memandu uji kenderaan itu selepas berhubung dengan individu yang mendakwa sebagai orang tengah melalui aplikasi pesanan.

Selepas bersetuju untuk membeli kenderaan berkenaan, mangsa membuat tiga transaksi berjumlah RM19,000 ke akaun bank pihak ketiga seperti diarahkan.

Bagaimanapun, mangsa kemudian mendapati pemilik sebenar kenderaan itu tidak menerima sebarang bayaran sebelum menyedari dirinya ditipu.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Getaran, 11 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved