Sindiket Seludup Dadah RM28.9 Juta Di Thailand Tumpas, 5 Warga Malaysia Tumpas 

16 Nov 2026 • 3:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sindiket Seludup Dadah RM28.9 Juta Di Thailand Tumpas, 5 Warga Malaysia Tumpas 

KUALA LUMPUR - Lima lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas kegiatan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang cuba menyeludup masuk 240 kilogram methamphetamine bernilai RM28.9 juta ke Malaysia berjaya dibongkar.

Penahanan itu dilakukan menerusi beberapa operasi bersepadu di Bangkok dan Prachuap Khiri Khan, minggu lalu, dengan penglibatan pegawai daripada Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) serta Bahagian Polis Metropolitan 7.

Jurucakap keselamatan Thailand berkata, siasatan kes berkenaan bermula dengan penahanan seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket itu di wilayah Nonthaburi pada 30 Oktober lalu.

Susulan itu, dua wanita warga Thailand masing-masing berusia 24 dan 25 tahun turut diberkas di Prachuap Khiri Khan, Khamis lalu.

Hasil siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang diubah suai dengan ruang khas menyerupai sistem audio bagi menyembunyikan dadah berkenaan.

Bahan terlarang itu pula dibungkus menggunakan uncang teh Cina sebelum disorokkan di dalam ruang berkenaan.

Kegiatan itu terbongkar selepas Pasukan Operasi 5 ONCB Bangkok yang diketuai pegawai penyiasat kanan, Peerawit Sodsiri, mengesan dua MPV mewah dalam keadaan mencurigakan ketika melalui Lebuhraya Rama II (Laluan 35) menuju ke selatan.

Pihak berkuasa kemudian menahan kenderaan pertama di sebuah stesen minyak di daerah Sam Roi Yot kira-kira jam 9 pagi Khamis lalu, sebelum sebuah lagi MPV ditahan berhampiran persimpangan jalan di daerah Pranburi. Kedua-dua lokasi berkenaan terletak di wilayah Prachuap Khiri Khan.

Dua lelaki warga Malaysia berusia 28 dan 40 tahun yang berada di dalam MPV pertama ditahan, manakala sebuah lagi kenderaan dinaiki seorang lelaki Malaysia berusia 28 tahun bersama seorang wanita warga Thailand yang turut diberkas.

“Pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan itu menemukan 240 kilogram methamphetamine yang disembunyikan di dalam ruang khas yang diubah suai menyerupai sistem audio,” katanya.

Operasi susulan di Bangkok pada Jumaat lalu menyaksikan dua lagi lelaki warga Malaysia, masing-masing berusia 40 tahun, serta seorang wanita Thailand berusia 25 tahun ditahan dalam serbuan berasingan.

Menurut jurucakap itu, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan berpangkalan di Malaysia dan menjadikan Thailand sebagai laluan transit bagi membawa dadah dari wilayah tengah negara itu ke Songkhla sebelum diseludup masuk ke Malaysia.

“Hasil soal siasat mendapati suspek diupah oleh seorang ketua sindiket dadah warga Malaysia untuk membawa methamphetamine dari wilayah tengah Thailand ke Songkhla sebelum bahan terlarang itu diseludup merentasi sempadan Thailand-Malaysia.

“Mereka turut mengaku pernah melakukan kegiatan penghantaran dadah sebanyak dua hingga tiga kali sebelum ini, dengan menerima bayaran antara 500,000 baht (RM60,300) hingga satu juta baht (RM120,600) bagi setiap perjalanan,” katanya.

Dadah yang dirampas itu dianggarkan mempunyai nilai pasaran sehingga 240 juta baht (RM28.9 juta) sekiranya berjaya dibawa ke destinasi yang ditetapkan di luar Thailand.

Jurucakap itu berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan operasinya menerusi rangkaian yang tersusun, dengan menggunakan aplikasi WeChat dan Telegram bagi menyelaras kegiatan penyeludupan.

“Bayaran dibuat menggunakan mata wang ringgit Malaysia, manakala satu dana khas turut diwujudkan bagi membiayai operasi sindiket di Thailand,” katanya. - Getaran, 16 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved