Sindiket seludup diesel subsidi di sempadan tumpas

2 Nov 2023 • 7:00 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi ke Thailand selepas menahan enam lelaki dalam serbuan terhadap sebuah premis di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

Timbalan Komander PPM Wilayah Satu, Supt Rohizan Mohamad Saaid berkata dalam operasi jam 7.30 pagi itu, pihaknya merampas 131,040 liter diesel di dalam empat lori tangki dengan kesemuanya bernilai RM1.2 juta.

Katanya, pihaknya menjalankan risikan sejak sebulan lepas sebelum melancarkan operasi Op Taring Landai dan menahan dua pemandu warga Thailand dan empat warga tempatan termasuk seorang penjaga premis.

“Pemeriksaan di situ mendapati premis tersebut dijadikan tempat untuk memindahkan diesel dari lori tangki Malaysia ke lori tangki Thailand untuk diseludup ke negara jiran, terdapat beberapa peralatan untuk tujuan tersebut antaranya pam minyak, hos paip dan nozel hos pam,“ katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket tersebut menjalankan kegiatan tersebut sejak empat bulan lepas dan dipercayai mampu mengaut ratusan ribu ringgit hasil kegiatan penyeludupan dan penyelewengan diesel bersubsidi tersebut.

Rohizan berkata modus operandi sindiket tersebut ialah menggunakan lori kecil milik orang tempatan untuk membeli diesel di sresen minyak sekitar Kedah dan Perlis sebelum ia dipindah ke dalam lori tangki syarikat tempatan.

Katanya, lori tangki tempatan itu akan dipandu ke sebuah premis terletak agak terrsorok dari jalan besar sebelum bahan api berkenaan dipindah ke lori tangki Thailand sebelum diseludup ke negara itu.

Beliau berkata semua suspek lelaki berusia 23 hingga 60 tahun itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. -Bernama