Sindiket seludup migran tumpas, tiga lelaki Indonesia disyaki jurupandu arah diberkas

LocalPolitics
26 Jun 2026 • 2:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket seludup migran tumpas, tiga lelaki Indonesia disyaki  jurupandu arah diberkas
Antara migran yang ditahan di persisir pantai Sungai Belangkan, Sepang, Ahad lepas. Foto: PGA

SEPANG - Tiga lelaki Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai jurupandu arah bagi kegiatan penyeludupan migran diberkas bersama 26 warga asing di persisiran pantai Sungai Manggis, Sungai Belangkan di sini baru-baru ini.

Tangkapan menerusi Op Taring Nyah 1 dilaksanakan Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Muar kira-kira jam 6 pagi, Ahad lepas.

Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintenden Shohaiami Ismail berkata, tangkapan migran terdiri daripada 18 lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak lelaki warga Indonesia, manakala seorang lagi ialah lelaki Bangladesh.

Menurutnya, dipercayai kesemua mereka baru tiba di lokasi terbabit melalui jalan laut.

"Turut ditahan ialah tiga lelaki Indonesia disyaki ahli sindiket penyeludupan migran yang berperanan sebagai jurupandu arah sejak sebulan lalu bagi kemasukan migran secara tidak sah.

"Kesemua tangkapan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk siasatan lanjut di bawah Akta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati setiap migran dipercayai membayar kira-kira 5 juta Rupiah (RM1,125) kepada sindiket.

Tambahnya, kejayaan ini merupakan satu usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Jelasnya, kegiatan terbabit bukan sahaja melanggar undang-undang, malah memberi ancaman kepada keselamatan negara serta berpotensi meningkatkan risiko jenayah lain.

"Saya menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang," ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved