
DUNGUN – Seorang lelaki disyaki anggota sindiket pengedaran dadah diberkas bersama dadah pelbagai jenis dalam serbuan di sebuah rumah sewa yang dipercayai dijadikan pusat penyimpanan bahan terlarang tersebut di Kampung Kertas Pulas, Kuala Abang, di sini, pada kelmarin.
Serbuan pada pukul 5 pagi itu berjaya merampas dadah jenis pil Yaba, syabu dan heroin yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM116,546.30.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, siasatan awal percaya lelaki berusia 25 tahan yang ditahan dalam serbuan itu bertindak sebagai penjaga stor bekalan dadah terbabit.
“Sindiket dadah terbabit dipercayai baru aktif di daerah ini pada awal bulan Januari lalu. Serbuan berjaya menjumpai 712.70 gram pil Yaba, syabu (402.5 gram) dan heroin (200.20 gram),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, di sini, hari ini.
Nik Ab. Halim berkata, bekalan dadah yang dirampas berkenaan mencukupi untuk kegunaan kira-kira 7,000 penagih dan suspek memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket simpan dadah dalam rumah sewa ditumpaskan appeared first on Kosmo Digital.






