3 Sindiket Vape Dadah Sintetik Tumpas, Kontraban Bernilai RM45.6 Juta Dirampas 

29 Jul 2026 • 7:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

3 Sindiket Vape Dadah Sintetik Tumpas, Kontraban Bernilai RM45.6 Juta Dirampas 

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket yang dipercayai terlibat dalam pengedaran produk vape mengandungi dadah sintetik,  susulan penahanan 14 individu serta rampasan pelbagai bahan terlarang bernilai lebih RM45.6 juta.

Kesemua sindiket berkenaan ditumpaskan menerusi operasi khas yang dilancarkan susulan kejadian 22 Julai lalu di Sentul, apabila tujuh pelajar sekolah menengah ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai menghisap vape mengandungi cecair dicampur dadah sintetik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit mengimport bekalan dadah termasuk peranti vape dari luar negara melalui platform dalam talian.

Menurut beliau, sindiket membuat pengisytiharan palsu dengan melabelkan barangan tersebut sebagai aksesori dan jus buah sebelum dibawa masuk ke negara ini menggunakan kontena, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Trend penyalahgunaan vape yang mengandungi dadah sintetik merupakan ancaman baharu dan cabaran serius dalam usaha membanteras jenayah narkotik di negara ini.

“Keadaan semakin membimbangkan susulan kejadian membabitkan tujuh pelajar di Sentul yang mengalami khayal selepas menggunakan vape mengandungi cecair dadah, sehingga menyebabkan dua daripada mereka terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.

“Fenomena ini amat serius dan memerlukan tindakan tegas bagi membendung penularan penggunaan vape bercampur dadah dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Hussein berkata, JSJN mempergiatkan operasi risikan dan penguatkuasaan di seluruh negara bagi mengesan, melumpuhkan serta menumpaskan sindiket yang terlibat dalam pengedaran bahan terlarang, khususnya bagi melindungi golongan muda daripada ancaman dadah.

Dalam Op Kesing yang dijalankan pada 23 Julai, polis berjaya menumpaskan sindiket dipercayai dikendalikan warga asing dengan penahanan tiga lelaki tempatan, lima wanita warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun serta seorang lelaki warga asing yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket.

Serbuan di Kajang, Gombak dan Sentul membawa kepada rampasan 742.74 kilogram metamfetamin cecair, 1.54 kilogram serbuk metamfetamin, 27.52 kilogram MDMA cecair, 3.38 kilogram serbuk MDMA, 4.16 kilogram ketamin, 1.54 kilogram pil Erimin 5, 318 gram pil ekstasi, 21 gram pil Yaba, 151 gram ganja serta 962 kartrij vape yang mengandungi cecair MDMA.

Dalam operasi berasingan pada hari sama menerusi Op Madarini, polis melumpuhkan satu lagi sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan menggunakan beberapa rumah di sekitar Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan vape mengandungi dadah sebelum dieksport ke luar negara.

Operasi itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 27 hingga 55 tahun.

Polis turut merampas 1,340 kartrij vape mengandungi cecair MDMA yang dianggarkan bernilai RM402,000.

Hussein berkata, ujian air kencing mendapati seorang suspek positif amphetamine, manakala semakan rekod menunjukkan dua suspek tempatan mempunyai gabungan 10 rekod kesalahan berkaitan dadah.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 24 Julai hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, menerusi Op Eristalis yang dijalankan pada 25 Julai hasil kerjasama JSJN Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, polis berjaya menggagalkan cubaan satu lagi sindiket menyeludup bekalan dadah menggunakan bot sebelum diedarkan ke negara jiran melalui laluan laut.

Dalam operasi itu, dua warga asing, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 26 serta 27 tahun ditahan di Sabak Bernam.

Polis merampas 4.16 kilogram ketamin, 7.12 kilogram pil ekstasi, 3.04 kilogram pil Erimin 5, 837 gram metamfetamin serta 3,750 kartrij vape yang mengandungi cecair MDMA.

Menurut Hussein, sindiket berkenaan dipercayai menjadikan sebuah kilang memproses ikan sebagai lokasi penyimpanan bagi menyembunyikan kegiatan haram mereka sebelum dadah dihantar ke negara jiran menggunakan bot.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi ini dianggarkan berjumlah RM2.7 juta,” katanya. - Getaran, 29 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved