
KUALA LUMPUR - Taktik sindiket penipuan perjudian online mencipta akaun palsu di media sosial dengan berkenalan bagi 'memancing' mangsa terbongkar menerusi serbuan di sebuah premis di Genting Highlands, Pahang, Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan ini membawa tangkapan lima individu berusia 16 hingga 30 tahun selain rampasan pelbagai barang antaranya telefon bimbit dan kad akses.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket mencipta akaun palsu seperti aplikasi Tantan, Bumble Dating, CMB Dating dan Tinder untuk mencari mangsa sebelum menawarkan permainan judi dalam talian.
"Mangsa yang terpedaya kemudiannya akan ditawarkan permainan judi online.
“Pada awalnya, mangsa akan diberikan kemenangan mudah dan diberikan paparan kononnya menerima sejumlah wang yang akan dibayar kepadanya," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Rabu.
Beliau berkata, namun untuk mendapatkan wang itu, mangsa diminta untuk membuat pembayaran untuk tuntutan kemenangan terbabit. Selepas pembayaran dibuat, duit kemenangan gagal ditebus.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, Ramli memberitahu, satu lagi serbuan turut dilakukan pada hari sama di empat premis di Kuching, Sarawak dengan penahanan 65 warga tempatan berusia dalam lingkungan 16 hingga 50 tahun termasuk seorang dalang kerana disyaki terlibat dengan pusat panggilan penipuan bagi tawaran kerja tidak wujud.
“Siasatan awal mendapati, sindiket ini menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Australia dan Amerika Selatan seperti Brazil, Peru, Paraguay dan Chile,” katanya.
Tambah Ramli, modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan aplikasi Monday untuk memasukkan data pelanggan yang berminat untuk membuat kerja sambilan.
“Mereka juga menggunakan aplikasi Telegram, LinkedIn dan Facebook untuk mencari dan berkenalan dengan mangsa. Mangsa yang berminat akan diberikan pautan bagi tujuan pendaftaran dan menyelesaikan tugasan yang diberikan,” ujarnya.
Katanya lagi, mangsa akan dikenakan bayaran bagi setiap tugasan iaitu dengan memberi 'review' promosi tiket penerbangan di laman cheap-airflight.live dan dijanjikan komisen beserta pulangan semula wang bagi setiap tugasan yang dilengkapkan.
"Pemeriksaan mendapati keempat-empat premis itu adalah milik seorang individu tempatan yang mendakwa tidak mengetahui mengenai aktiviti jenayah yang dilakukan di dalam premisnya," katanya.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan.

