
PORT DICKSON – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka peluang kepada lebih ramai anak muda yang mempunyai kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat (IT) dan kemahiran digital untuk menyertai pasukan keselamatan negara itu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, kepakaran dalam bidang berkenaan semakin diperlukan seiring usaha mentransformasikan ATM menjadi sebuah angkatan yang lebih moden, profesional dan berupaya menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan.
Menurutnya, kerjaya dalam bidang ketenteraan bukan hanya tertumpu kepada tugas tempur, sebaliknya menawarkan pelbagai cabang kepakaran dalam Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Kita sedang menuju ke arah angkatan masa hadapan yang lebih moden dan profesional. Cabaran sekarang adalah dari segi teknologi, AI dan IT yang memerlukan sumber manusia berkemahiran untuk menyokong keupayaan operasi ATM.
“Kita mempunyai pelbagai cabang yang boleh ditawarkan kepada anak muda dan penempatan mereka akan diselaraskan mengikut pilihan, minat serta kelayakan masing-masing,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 206/26 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 1,485 perajurit muda berjaya menamatkan latihan dengan Perajurit Muda Muhammad Akram Syazwan Farizal, 19, dari Alor Setar, Kedah muncul sebagai Perajurit Muda Lelaki Keseluruhan Terbaik.
The post ATM galak anak muda mahir AI, teknologi sertai tentera appeared first on Kosmo Online.






