Sinergi RKB-AKTA Iltizam Perkukuh Momentum Reformasi Sektor Awam

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 10:34 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Sinergi RKB-AKTA Iltizam Perkukuh Momentum Reformasi Sektor Awam

Sinergi RKB-AKTA Iltizam Perkukuh Momentum Reformasi Sektor Awam

Sinergi antara Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) terus membuktikan hasil nyata, dengan Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 (WCR 2026), berbanding kedudukan ke-23 pada tahun sebelumnya.

Perkembangan ini dikongsikan sempena Konvensyen ILTIZAM 2026 bertemakan “Memacu Kecekapan, Akauntabiliti dan Reformasi Perkhidmatan Awam” di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama UUM serta penyertaan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) baru baru ini.

Image from: Sinergi RKB-AKTA Iltizam Perkukuh Momentum Reformasi Sektor Awam

Merasmikan konvensyen yang dihadiri kira-kira 1,200 peserta, Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menjelaskan Akta ILTIZAM bertindak sebagai asas perundangan manakala RKB pula mekanisme tindakan bagi mengubah budaya perkhidmatan awam daripada ‘pengawal selia’ kepada ‘pemudah cara’.

“Akta Iltizam menguatkuasakan amanah dalam sistem pentadbiran negara, bukan sekadar dasar pentadbiran semata-mata,” katanya, sambil menegaskan setiap pegawai awam turut memikul tanggungjawab ke atas setiap kelewatan atau keputusan yang tidak adil. 

Sinergi ini menetapkan sasaran mengurangkan sekurang-kurangnya 25 peratus beban kawal selia dalam tempoh tiga tahun, merangkumi lapan instrumen pelesenan utama yang dipantau oleh Majlis Tindakan Malaysia MADANI (MTMM). Setakat 31 Julai 2026, sebanyak 439 projek RKB telah disiapkan di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), dengan anggaran penjimatan kos pematuhan RM2.95 bilion kepada rakyat dan komuniti perniagaan.

Pencapaian ini turut menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam pelbagai indikator WCR 2026, termasuk Kecekapan Kerajaan (naik ke tempat ke-14) dan Birokrasi (naik ke tempat keenam dunia). 

Wilayah Utara mencatat 67 projek RKB siap dilaksanakan, diketuai Pulau Pinang (29 projek), diikuti Perak dan Kedah (17 projek masing-masing) serta Perlis (4 projek). Antara contoh impak: Majlis Bandaraya Seberang Perai memendekkan kelulusan lesen premis industri baharu daripada 133 hari kepada 24 jam, manakala Pejabat Tanah dan Galian Perlis mengurangkan tempoh kelulusan sekatan kepentingan daripada 60 hari kepada 14 hari.

Image from: Sinergi RKB-AKTA Iltizam Perkukuh Momentum Reformasi Sektor Awam

Sebagai sebahagian daripada program konvensyen, Timbalan Ketua Pengarah MPC, YBrs. Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah, memoderatorkan sesi Wacana Intelek bertajuk “Akta Iltizam: Reformasi Sektor Awam”, turut menghimpunkan panelis dari kalangan akademik dan industri. Dr. Mazrina berkata kewujudan Akta ILTIZAM kini menyediakan kerangka perundangan yang mewajibkan agensi Kerajaan mematuhi tempoh dan piawaian perkhidmatan yang ditetapkan, anjakan besar yang menyokong hasrat RKB mengubah budaya kerja kepada lebih responsif. “Sinergi ini memberi impak langsung kepada kemudahan urusan harian rakyat dan komuniti perniagaan,” tambah beliau.

Tan Sri Shamsul Azri menegaskan reformasi berterusan adalah kemestian, seiring semangat “Mudahkan, Jangan Susahkan”. Konvensyen turut menyaksikan pelancaran Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (IPPA) dan Memorandum Persefahaman JPA-UUM, sebagai langkah memperkukuh fasa seterusnya ARPA ke arah sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien dan berimpak tinggi kepada rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved