Singapura bakal ambil tindakan terhadap syarikat dikaitkan kebakaran Indonesia

WorldEnvironment
20 Oct 2026 • 10:18 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengumumkan tindakan undang-undang terhadap syarikat dikaitkan kebakaran Indonesia.

Kerajaan Singapura akan menggunakan semua saluran perundangan dan kawal selia yang tersedia bagi mengambil tindakan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran hutan di Indonesia sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, kementerian berkaitan sedang mengambil tindakan susulan bagi mengenal pasti langkah yang boleh dilaksanakan terhadap syarikat terbabit.

Menurutnya, Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar, Grace Fu telah mengenal pasti senarai awal syarikat yang disyaki terlibat, manakala Menteri Kanan, K. Shanmugam turut memperincikan langkah seterusnya yang akan diambil kerajaan.

“Kami akan menggunakan semua saluran undang-undang dan kawal selia yang tersedia serta segala mekanisme yang ada bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan dan tekanan sewajarnya,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Isnin.

Tindakan perundangan

Dalam perkembangan berkaitan, Shanmugam berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pelbagai langkah termasuk tindakan perundangan, kawal selia dan ekonomi terhadap syarikat yang mempunyai kaitan dengan kebakaran berkenaan.

Menurut laporan Channel News Asia (CNA), langkah tersebut berpotensi memberi kesan kepada keuntungan syarikat, akses kepada pembiayaan serta reputasi mereka dalam kalangan pelabur.

Shanmugam turut memberi amaran bahawa kerajaan bersedia meminda undang-undang sedia ada atau memperkenalkan perundangan baharu dengan segera sekiranya diperlukan bagi memastikan kerjasama daripada syarikat yang disiasat.

Beliau menegaskan bahawa syarikat terbabit tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab hanya kerana kebakaran berlaku di luar wilayah Singapura atau menggunakan struktur korporat yang kompleks.

Notis langkah pencegahan

Dalam pada itu, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) telah mengeluarkan notis langkah pencegahan kepada tujuh syarikat di Indonesia pada 16 Oktober lalu.

Tiga lagi syarikat yang mempunyai kaitan dengan kawasan kebakaran di Kalimantan turut dikenal pasti untuk menerima notis sama pada Isnin, menjadikan keseluruhan 10 syarikat setakat ini.

Notis berkenaan menghendaki syarikat mengambil langkah memadam dan mencegah kebakaran, menghentikan aktiviti pembakaran serta mengemukakan pelan tindakan bagi mengelakkan kejadian berulang.

Shanmugam turut menegaskan bahawa tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab akan diteruskan walaupun keadaan jerebu kembali pulih.

Terdahulu, Lawrence Wong pada 15 Oktober memaklumkan bahawa Singapura sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan mengikut Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, selain meneroka kerjasama dengan negara lain bagi menangani punca kejadian tersebut.

The post Singapura bakal ambil tindakan terhadap syarikat dikaitkan kebakaran Indonesia appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved