hamden07/08/2026 - 16:05 KUALA LUMPUR 7 Ogos - Singapura memberikan kelulusan bersyarat kepada dua syarikat bagi mengimport sejumlah 900 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui daripada projek tenaga hijau yang dirancang di Johor, sekali gus memperkukuh kerjasama tenaga rentas sempadan antara Malaysia dan republik itu.
Kelulusan berkenaan melibatkan Sembcorp Utilities Pte Ltd, anak syarikat kepada Sembcorp Industries, yang akan mengimport kira-kira 300MW tenaga boleh diperbaharui daripada projek solar terapung dan penyimpanan tenaga di Malaysia.
Projek tersebut merangkumi sistem solar terapung dengan kapasiti puncak 2.2 gigawatt (GW) serta kemudahan penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti sehingga 4.3 gigawatt-jam (GWh), lapor Bloomberg.
Ia akan dibangunkan secara kerjasama antara Sembcorp, KPRJ Environment Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik kerajaan Malaysia, serta Qua Energy dan dijangka mula beroperasi pada 2029.
Dalam perkembangan sama, Southern Solar Alliance Pte Ltd, anak syarikat Ditrolic Energy Holdings Bhd, turut menerima kelulusan untuk mengimport 600MW tenaga daripada kemudahan solar dan bateri di Malaysia.
Projek itu juga dijangka mencapai operasi komersial sekitar 2029.
Energy Market Authority (EMA) Singapura berkata, kedua-dua syarikat perlu mendapatkan semua kelulusan berkaitan daripada pihak berkuasa negara terlibat, memuktamadkan perjanjian pembelian tenaga dengan pembeli, mendapatkan pembiayaan mencukupi serta melengkapkan beberapa peringkat pembangunan projek sebelum mencapai penutupan kewangan.
Menurut EMA, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha Singapura meningkatkan keselamatan tenaga melalui pembangunan hubungan tenaga rentas sempadan.
Singapura yang banyak bergantung kepada gas asli import bagi penjanaan elektrik kini mempergiat usaha mempelbagaikan sumber tenaga dengan mengimport tenaga bersih dari negara jiran termasuk Malaysia, Indonesia, Australia dan Kemboja.
Sembcorp berkata, projek tenaga hijau berkenaan akan memanfaatkan infrastruktur sambungan dasar laut sedia ada dan yang bakal dibangunkan antara Malaysia dan Singapura bagi memudahkan aliran tenaga elektrik rentas sempadan.
Inisiatif itu turut menyokong aspirasi kedua-dua negara dalam mempercepatkan peralihan tenaga bersih, selain mengukuhkan kedudukan Asia Tenggara sebagai rantau yang mempunyai jaringan tenaga rendah karbon.
Singapura menyasarkan untuk mengimport sehingga 6 gigawatt (GW) tenaga rendah karbon menjelang 2035 bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat serta mencapai sasaran iklim negara tersebut. - DagangNews.com





