Singapura naikkan unjuran KDNK kepada enam peratus

WorldBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 2:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Singapura naikkan unjuran KDNK kepada enam peratus

SINGAPURA – Singapura menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2026 kepada kira-kira 6.0 peratus daripada anggaran awal sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus, didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap kecerdasan buatan (AI), menurut Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI).

Ekonomi republik itu berkembang sebanyak 6.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, perlahan sedikit berbanding pertumbuhan 6.4 peratus dicatatkan pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh peningkatan dalam sektor perdagangan borong, pembuatan, kewangan dan insurans.

Ini menjadikan pertumbuhan ekonomi mencapai purata 6.2 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2026.

Pada Ogos, METI menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2026 kepada antara 4.5 dan 5.5 peratus berikutan impak ekonomi daripada konflik di Asia Barat yang tidak begitu ketara berbanding unjuran awal, manakala lonjakan pelaburan AI pada peringkat global dijangka memberikan sokongan terhadap pertumbuhan tersebut.

“Sejak itu, pengeluaran dan eksport berkaitan AI, didorong oleh pembangunan pusat data yang lebih pesat daripada jangkaan, terus mencatatkan peningkatan. Momentum ini dijangka berterusan sepanjang baki tahun ini.

“Walaupun harga tenaga yang tinggi telah menyumbang kepada tekanan inflasi global dan dasar monetari yang lebih ketat di beberapa negara, secara keseluruhannya, penilaian METI mendapati prospek permintaan luar Singapura pada tahun ini lebih baik berbanding penilaiannya pada Ogos,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, METI memaklumkan pertumbuhan KDNK Singapura diunjurkan sederhana kepada antara 2.5 dan 4.5 peratus pada 2027 berikutan pertumbuhan pelaburan AI dan eksport berkaitan AI dijangka sederhana berbanding paras tinggi dicatatkan pada 2026.

METI turut memaklumkan bekalan minyak dari Asia Barat dijangka pulih secara berperingkat, disokong oleh peningkatan penggunaan laluan alternatif untuk minyak seperti saluran paip di rantau Teluk yang dijangka membantu meredakan harga tenaga global dan tekanan inflasi.

The post Singapura naikkan unjuran KDNK kepada enam peratus appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved