liza20/11/2026 - 11:23 Gambar hiasan -FB Mesra Mall Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov – TA Research menaikkan unjuran jumlah keseluruhan industri automotif (TIV) Malaysia bagi 2026 sebanyak 2.5% kepada 810,000 unit berbanding 790,000 unit sebelum ini, susulan jualan kenderaan yang lebih baik daripada jangkaan serta promosi jualan menjelang akhir tahun.
Firma penyelidikan itu menjangkakan TIV meningkat 1.3% pada 2027 kepada 820,000 unit disokong permintaan domestik yang berdaya tahan serta pelancaran model baharu.
Bagaimanapun, TA Research mengekalkan saranan Neutral terhadap sektor automotif berikutan asas jualan yang tinggi, persaingan semakin sengit serta ketidaktentuan berhubung semakan rangka kerja duti eksais Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD).
Jualan Oktober meningkat 1% berbanding September
Menurut data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV meningkat 1% bulan ke bulan kepada 70,519 unit pada Oktober 2026 berbanding 69,820 unit pada September.
Peningkatan itu disokong jualan kenderaan penumpang yang naik 0.5% kepada 65,362 unit, manakala kenderaan komersial meningkat 7.3% kepada 5,157 unit, dipacu permintaan lebih tinggi terhadap trak pikap.
Bagaimanapun, jualan keseluruhan masih menyusut 8.7% berbanding 77,249 unit pada Oktober 2025, dengan jualan kenderaan penumpang merosot 8.6% dan kenderaan komersial turun 9.9%.
Bagi tempoh 10 bulan pertama 2026, TIV meningkat 2.4% kepada 673,412 unit berbanding 657,390 unit dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong pertumbuhan jualan kenderaan penumpang sebanyak 3.6% kepada 630,461 unit.
Proton terus mengatasi prestasi Perodua
Dalam segmen kenderaan nasional, jualan penumpang meningkat 3.6% bulan ke bulan kepada 47,648 unit pada Oktober, disokong peningkatan jualan Proton dan Perodua.
Jualan Proton meningkat 4.7% bulan ke bulan dan 26.9% tahun ke tahun kepada 19,003 unit, didorong permintaan berterusan terhadap model Saga, pengenalan varian S70 yang lebih mampu milik serta sumbangan rangkaian e.MAS.
Sementara itu, jualan Perodua meningkat 2.9% bulan ke bulan kepada 28,645 unit susulan pemulihan penghantaran selepas operasi pengeluarannya terganggu sementara akibat kerja penyelenggaraan pada September.
Bagaimanapun, jualan Perodua masih susut 16% berbanding tahun sebelumnya. Bagi tempoh 10 bulan pertama 2026, jualan Proton melonjak 37.7% kepada 172,319 unit, mengatasi pertumbuhan jualan Perodua yang merosot 4.6% kepada 276,042 unit.
Toyota catat peningkatan ketika jualan jenama bukan nasional merosot
Sebaliknya, jualan kenderaan penumpang bukan nasional merosot 6.9% bulan ke bulan dan 21.1% tahun ke tahun kepada 17,714 unit pada Oktober, mencerminkan tekanan persaingan yang semakin sengit.
BYD mencatatkan penurunan paling ketara dalam kalangan jenama utama apabila jualannya merosot 45% bulan ke bulan dan 78.3% tahun ke tahun kepada 386 unit. Honda turut mencatatkan penurunan 43.2% tahun ke tahun kepada 3,726 unit.
Bagaimanapun, Toyota menunjukkan prestasi lebih baik apabila jualan meningkat 17.4% bulan ke bulan kepada 6,280 unit, manakala Mazda mencatatkan peningkatan 7.3% kepada 1,065 unit.
Bagi tempoh 10 bulan pertama 2026, jualan kenderaan bukan nasional merosot 6.1% kepada 182,100 unit, walaupun Mazda mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 35.5% kepada 9,555 unit.
Pendaftaran EV susut, Proton kuasai pasaran
Dalam segmen kenderaan elektrik (EV), pendaftaran merosot 23.8% bulan ke bulan kepada 4,600 unit pada Oktober, sekali gus menjadi jumlah bulanan kedua terendah tahun ini.
Bahagian pasaran EV turut menyusut kepada 6.1% daripada 8.1% pada September. Proton terus mendominasi segmen itu dengan penguasaan pasaran sebanyak 61.3%, diterajui model e.MAS 5 yang merekodkan 2,300 unit atau hampir separuh daripada keseluruhan pendaftaran EV pada bulan berkenaan.
Pendaftaran BYD pula merosot 45.9% bulan ke bulan kepada 333 unit, manakala Tesla mencatatkan penurunan lebih ketara sebanyak 84.9% kepada 106 unit.
Walaupun prestasi bulanan lebih perlahan, pendaftaran EV terkumpul bagi tempoh 10 bulan pertama 2026 masih meningkat 85.9% tahun ke tahun kepada 58,100 unit, menunjukkan trend penerimaan EV jangka panjang masih berterusan meskipun persaingan semakin sengit.- DagangNews.com




