SHAH ALAM - Sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan tahun ini diraikan dengan pendekatan lebih dekat di hati menerusi filem pendek bertajuk Singgah yang mengetengahkan nilai perpaduan, kasih sayang dan kebersamaan rakyat Malaysia dalam kepelbagaian budaya.
Diterbitkan sempena sambutan perayaan budaya terbesar masyarakat Sabah dan Sarawak, Singgah tampil dengan naratif sederhana namun sarat emosi, mengangkat kisah seorang wanita yang terkandas di perantauan tetapi akhirnya menemui makna sebenar sebuah keluarga dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr S Shatesh Kumar berkata, antara kekuatan utama filem tersebut adalah penggunaan dialog pelbagai dialek termasuk Sabah dan Sarawak yang memberikan rasa autentik kepada keseluruhan penceritaan.
"Penonton turut disajikan dengan elemen budaya seperti makanan tradisional, tarian Sumazau dan Ngajat serta suasana persiapan sambutan Gawai dan Kaamatan yang cukup dekat dengan kehidupan masyarakat Borneo.
"Malah, antara babak paling menyentuh hati ketika watak Kak Lidia menyuap makanan kepada Melina sambil berkata bahawa rumah mereka 'tidak pernah sunyi' setiap kali musim perayaan.
"Babak ini memperlihatkan bagaimana sebuah keluarga tidak semestinya terikat dengan pertalian darah, tetapi juga melalui rasa hormat dan kasih sesama insan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Shatesh Kumar menambah, dialog seperti 'dalam setiap perayaan, terjalin kebersamaan yang mengeratkan kita sebagai satu keluarga besar' menjadi inti pati utama filem tersebut, selari mesej 'Faham, Hormat, Terima dan Meraikan' yang diterapkan sepanjang penceritaan.
Dalam masa sama, katanya, keserasian antara barisan pelakon pelbagai kaum dan latar budaya berjaya diterjemahkan secara semula jadi tanpa kelihatan dipaksa, menjadikan Singgah lebih dekat dengan realiti kehidupan masyarakat Malaysia hari ini.
Dari sudut visual pula, menurut beliau, filem pendek itu memanfaatkan keindahan panorama sawah dan suasana kampung bagi memberi nuansa tenang serta nostalgia kepada penonton.
"Penggunaan tona sinematik hangat dan gerakan kamera yang lembut membantu menghidupkan emosi setiap babak, terutama ketika adegan makan bersama dan tarian budaya berlangsung.
"Walaupun berdurasi pendek, Singgah berjaya menyampaikan mesej besar tentang perpaduan menerusi pendekatan ringan dan mudah difahami semua lapisan masyarakat. Ia bukan sekadar filem perayaan, tetapi refleksi tentang realiti rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan kepercayaan.
"Kemunculan karya seperti Singgah juga membuktikan bahawa filem pendek tempatan mampu menjadi medium penting dalam membina persefahaman sosial serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda," ujar beliau.
Singgah menampilkan kelainan menerusi gandingan pelakon muda berbakat, Muhammad Mokhtar Iskandarsyah sebagai Daniel, pemuda kampung yang menjadi penghubung kepada perjalanan emosi watak Melina.
Turut membintangi karya tersebut ialah Kueh Mei Fung, Nurfatin Zulmisya Zulhazmi, Vallyssa Vallery Henry, Carvinnia Elzavina, R Sindu, Dexter Lim Zhen Qin dan Abdul Rahman Lee.
Selain itu, model dan pelakon baharu, Mohammad Eusoff Abu Talib turut membuat penampilan khas sekali gus menyerlahkan lagi elemen silang budaya yang menjadi tunjang utama karya berkenaan.
Filem pendek itu boleh ditonton secara dalam talian di platform media sosial Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang; Kementerian Perpaduan Negara dan agensi-agensi di bawah kementerian bermula 22 Mei ini.
