TAPAH - Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) ibarat peluang kedua buat 70 penghuni Penjara Tapah yang terpilih mengikuti program tersebut.
Bagi Angah (bukan nama sebenar), 36, yang menjalani hukuman penjara selama 16 bulan atas kesalahan berkaitan dadah berkata, peluang dibebaskan lebih awal menerusi PBSL disifatkan sebagai ruang kedua untuk memperbaiki segala kesilapan lalu.
Menurut bapa kepada seorang anak berusia 10 tahun itu, dia mengakui amat menyesali tindakannya sehingga menyebabkan tanggungjawab terhadap keluarga, khususnya anak dan ibu bapanya terabai.
“Saya rasa kecewa sangat dengan diri sendiri, menyesal sangat sebab terbabit dengan dadah.
“Bila dapat PBSL ini, saya rasa sangat beruntung sebab dapat keluar lebih awal dan saya mahu gunakan peluang ini untuk berubah serta menjadi orang yang lebih baik,” katanya ketika ditemui ketika Majlis PBSL Madani Yakin 2026 sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di Penjara Tapah di sini pada Khamis.
Angah berkata, peluang pulang ke pangkuan keluarga sempena Aidiladha kali ini sangat bermakna selepas tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang sebelum ini.
“Rasa terharu sangat, gembira sebab akhirnya dapat balik jumpa mak ayah dan anak.
“Selama tiga bulan lebih ini saya tak dapat jumpa anak langsung. Saya sangat rindu, memang nak sangat peluk dia,” kata bapa tunggal itu sebak.
Lebih menyentuh hati, Angah mengakui terpaksa merahsiakan keberadaannya daripada anak tunggalnya itu bagi menjaga perasaan si kecil.
**media[3528084]**
Dalam pada itu, seorang lagi penerima PBSL, Anum (bukan nama sebenar) berkata, peluang diberikan untuk bekerja di sebuah restoran selama tiga bulan memberi sinar baharu buat dirinya.
Dia memilih untuk menyertai program pekerjaan berbanding pulang beraya kerana mahu membina masa depan lebih baik.
“Saya bersyukur sangat sebab dapat peluang bekerja melalui PBSL ini. Saya mahu cari pengalaman baharu dan cuba bidang lain.
“Sebelum ini saya bekerja dalam bidang kimpalan, tapi kali ini saya mahu belajar bidang masakan pula,” kata wanita yang menjalani hukuman selama setahun dua bulan di penjara berkenaan.
Menurut Anum, sepanjang tujuh bulan berada di penjara, banyak perkara dipelajari termasuk aspek kerohanian, disiplin dan pembentukan jati diri.
“Dalam sini saya belajar bekerja, mengaji, solat dan ikut kelas-kelas yang banyak membentuk diri saya jadi lebih baik.
“Di sinilah saya sedar kesilapan saya banyak berpunca daripada pengaruh kawan. Saya terlalu ikut cakap kawan sampai abaikan nasihat emak,” katanya.
Anum berkata, perkara pertama yang mahu dilakukannya selepas tamat tempoh PBSL ialah memohon maaf dan memohon keampunan daripada ibunya.
