Singgah Santai@PNM 2025 Angkat Tema Belia Pemacu Masa Depan Negara

LocalFamily & Parenting
22 Sep 2025 • 10:42 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Singgah Santai@PNM 2025 Angkat Tema Belia Pemacu Masa Depan Negara

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menganjurkan Program Singgah Santai @PNM, sebuah inisiatif berskala sederhana yang diberi penjenamaan semula bagi menyemarakkan budaya membaca dan memupuk perkongsian ilmu dalam suasana santai.

image is not available

Majlis pelancaran program telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Edy Irwan bin Zulkafli, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia pada hari ini di pekarangan PNM. Program Singgah Santai@PNM kali ke-18 ini mengangkat tema “Belia Pemacu Masa Depan Negara” dan mensasarkan 4,000 orang pengunjung.

image is not available

Program ini turut mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), selaras dengan usaha PNM untuk menarik masyarakat khususnya di sekitar Lembah Klang agar mengunjungi PNM, memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan serta menyertai pelbagai aktiviti menarik yang mampu merangsang perkembangan minda dan memperkukuh interaksi sosial.

Pelbagai aktiviti berkonsepkan pembacaan dan santai ilmu bersama keluarga telah diadakan antaranya pertandingan menghias kek, pertandingan e-sport Mobile Legends, pertandingan anime cosplay, aktiviti didik hibur, kempen deposit duit syiling, pemeriksaan kesihatan, sembang kerjaya, terapi seni dan banyak lagi. Turut mencuri tumpuan adalah aktiviti Bicara Santai yang menampilkan pempengaruh terkenal iaitu Mohammad Abid Othman dan Mohammad Amin Othman yang akan berkongsi pengalaman dan cabaran mereka sebagai pempengaruh media sosial.

image is not available

Sepanjang Program Singgah Santai@PNM ini juga, PNM turut mengadakan Hari Bertemu Pelanggan yang mempromosikan perkhidmatan perpustakaan digital U-Pustaka, perkhidmatan pinjaman berkelompok, keahlian perpustakaan, demo pembaikan ringan Doktor Buku, Give and Take Book dan promosi pangkalan data. Gerai Niaga dan Jualan Rahmah turut diadakan bagi membolehkan para pengunjung mendapatkan barangan keperluan harian, aksesori pakaian, makanan dan minuman, buku, produk kecantikan dan kesihatan serta banyak lagi dengan harga yang berpatutan.

image is not available

Melalui penganjuran Program Singgah Santai@PNM ini, komuniti setempat bukan sahaja berpeluang memanfaatkan koleksi dan perkhidmatan PNM dan agensi luar, malah turut memperkukuh ilmu pengetahuan dan pengalaman berharga, sekali gus mempererat perpaduan masyarakat dalam kerangka Malaysia MADANI ke arah melahirkan generasi yang maju, sejahtera dan harmoni.