
Kem Pustakawan Digital Pacu Perkhidmatan Perpustakaan Digital
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara melancarkan Kem Pustakawan Digital 2025, sebuah inisiatif kebangsaan yang bertujuan memperkasakan lebih 300 pustakawan dengan kemahiran digital terkini. Program intensif selama tiga hari ini menekankan transformasi perkhidmatan perpustakaan melalui penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi sistem, pemasaran digital, pendigitan koleksi warisan, serta pengurusan data raya (Big Data).

Kem digital ini merupakan langkah proaktif dalam menghadapi cabaran zaman teknologi baharu yang menekankan kepentingan memperkukuh perkhidmatan perpustakaan secara maya. Berdasarkan statistik Perpustakaan Negara Malaysia sehingga Ogos 2025 menunjukkan lebih 70% pengguna perpustakaan kini mengakses koleksi melalui platform digital, justeru pustakawan perlu dilengkapi dengan kecekapan teknologi bagi memastikan akses ilmu pengetahuan sentiasa terbuka dan inklusif.

Jurang literasi teknologi antara pustakawan di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai penghalang utama kepada kelancaran operasi digital. Melalui Kem Pustakawan Digital, para peserta berpeluang mengikuti latihan praktikal yang menekankan penggunaan aplikasi sebenar, daripada automasi pertanyaan, reka bentuk promosi digital sehinggalah kepada pembangunan aplikasi mini perpustakaan.
Program ini menggabungkan ceramah dari pakar industri termasuk bengkel interaktif serta sesi brainstorm kepimpinan digital. Antara topik yang diketengahkan termasuk hak cipta digital, pengkomputeran awan, pendigitan koleksi warisan, analitik data raya, keselamatan siber dan strategi pemasaran digital bagi memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu moden.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Edy Irwan bin Zulkafli, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, pada hari ini bertempat di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia. Pameran teknologi juga diadakan sepanjang program dengan penyertaan lebih 10 reruai pempamer teknologi digital.
Kem ini menyasarkan penyertaan 100 pustakawan PNM, 260 pustakawan Perpustakaan Khusus Guna Sama (PKG), 40 pustakawan Pusat Sumber Sekolah sekitar Kuala Lumpur serta 20 pempamer teknologi. Kehadiran ini mencerminkan aspirasi PNM untuk menjadi institusi peneraju Perpustakaan Digital Negara.
Menurut Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, “Kem Pustakawan Digital adalah landasan penting bagi PNM dalam merangka dan menyatukan strategi latihan teknologi, selaras dengan aspirasi transformasi perkhidmatan perpustakaan masa hadapan. Kami mahu pustakawan bukan sahaja celik digital, tetapi juga mampu menjadi pemimpin dalam projek digital yang memberi impak besar kepada komuniti.”

Program ini turut menyediakan ruang kepada peserta untuk menghasilkan projek mini secara berkumpulan seperti AI Chatbot, reka bentuk poster berasaskan AI, dan dashboard pengurusan data. Hasil kerja akan dinilai dari aspek impak, praktikaliti, serta kreativiti, sekali gus membuka peluang untuk diaplikasikan dalam situasi sebenar di lapangan.

Sekiranya program ini tidak dilaksanakan, jurang literasi digital akan terus melebar, teknologi sedia ada tidak dimanfaatkan secara optimum dan perpustakaan awam berisiko ketinggalan berbanding platform digital lain. Justeru, penganjuran Kem Pustakawan Digital merupakan langkah strategik ke arah memastikan kelestarian dan relevansi perpustakaan dalam era digital. PNM optimis bahawa Kem Pustakawan Digital ini akan menjadi model pembangunan kompetensi yang boleh diadaptasi oleh perpustakaan lain di seluruh Malaysia.
The post Kem Pustakawan Digital Pacu Perkhidmatan Perpustakaan Digital appeared first on Siakap Keli.




