Singularity Connect dan Unimas laksanakan projek uji penggunaan AI di Sarawak selama 24 bulan

LocalTechnology
22 Sep 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Singularity Connect dan Unimas laksanakan projek uji penggunaan AI di Sarawak selama 24 bulan Image from: Singularity Connect dan Unimas laksanakan projek uji penggunaan AI di Sarawak selama 24 bulan amree22/09/2026 - 15:20 (DARI kiri) Syahrizan Junaini dan Fauzi Ali pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman sempena URIIS 2026 untuk mengenal pasti dan menguji teknologi AI bagi memenuhi keperluan sebenar industri, komuniti dan sektor awam di Sarawak. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept — Singularity Connect Sdn Bhd dan Unimas Holdings Sdn Bhd (UHSB) akan menguji penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani keperluan sebenar industri, komuniti dan sektor awam di Sarawak menerusi kerjasama selama 24 bulan.

 

Menurut kenyataan syarikat berkenaan, kerjasama tersebut menyasarkan untuk mempamerkan hasil penyelidikan institusi pendidikan tinggi awam itu kepada projek perintis AI yang boleh diuji, diukur dan dinilai sebelum berpotensi dikembangkan secara komersial di pasaran.

 

UHSB yang merupakan cabang komersial dan pelaburan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), akan menggabungkan kepakaran penyelidik, kemudahan dan bakat institusi itu dengan keupayaan pembangunan serta tadbir urus dimiliki AI Singularity Connect.

 

"Menerusi kerjasama ini, idea yang dikenal pasti akan melalui beberapa peringkat termasuk mengenal pasti masalah, penyelidikan, pengujian dan pelaksanaan projek perintis sebelum keputusan mengenai penerimagunaan lebih meluas dibuat," kata syarikat tu.

 

Antara bidang awal yang sedang dipertimbangkan oleh kedua-dua pihak termasuk biodiversiti dan pengurusan sumber asli, penjagaan kesihatan, pendidikan, pertanian, komuniti mampan, operasi kampus pintar serta aspek pendigitalan perniagaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Singularity Connect, Ahmad Fauzi Ali berkata, kerjasama itu menyediakan pendekatan praktikal untuk menterjemahkan hasil penyelidikan dan keperluan sebenar kepada teknologi AI yang boleh diuji serta diukur.

 

Unimas_DagangNews2026

 

Beliau menambah, pendekatan bermula di Sarawak membolehkan kedua-dua pihak memahami keberkesanan teknologi dalam konteks tempatan sebelum meneliti pula potensi penerimaan penggunaannya secara lebih meluas di seluruh Malaysia.

 

"Kerjasama ini turut membuka peluang kepada pelajar dan penyelidik melalui projek industri, latihan industri, pertukaran serta program latihan, dengan setiap projek perlu mengambil kira tadbir urus data, keselamatan siber, dan akauntabiliti," jelasnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UHSB, Syahrizan Junaini berkata, UNIMAS memiliki kepakaran penyelidikan dan bakat dalam pelbagai bidang, manakala UHSB berperanan merapatkan jurang antara pengetahuan tersebut dengan keperluan industri dan komuniti.

 

Katanya, kedua-dua pihak mahu mengenal pasti masalah sebenar, mempertemukan penyelidik dengan rakan kongsi teknologi yang sesuai serta membangunkan rumusan AI yang boleh diuji di Sarawak.

 

Bagi rumusan yang terbukti memberikan nilai yang boleh diukur, beliau berkata terdapat hasrat untuk mewujudkan laluan yang jelas ke arah pengkomersialan dan penerimaan lebih meluas.

 

Sementara itu, aspek pembiayaan, harta intelek, akses data, terma komersial dan pelaksanaan projek berkenaan tertakluk kepada kelulusan serta perjanjian berasingan jika diperlukan.

 

Kedua-dua pihak turut bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) bukan eksklusif sempena University Research and Innovation Investment Summit 2026 (URIIS 2026), yang disaksikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved