Pada awal tahun ini, Logitech telah memperkenalkan siri aksesori gaming, bermula dengan fon kepala Logitech G325 Lightspeed Wireless Gaming Headset yang merupakan salah satu daripada penawaran fon kepala gaming paling premium oleh Logitech yang dijual pada harga RM425.

Terkini, Logitech Malaysia telah mengumumkan bahawa dua lagi aksesori gaming dalam siri ini, iaitu Logitech G304 X Superlight Wireless Gaming Mouse dan Logitech G316 X 98 Mechanical Gaming Keyboard turut akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Bermula dengan tetikus Logitech G304 X Superlight, tetikus ini mengekalkan rekaan ergonomik dan telah dikemaskini dengan penggunaan cip sensor HERO 44K yang membolehkan pengguna untuk mengubahsuai sensitiviti input pengguna mengikut keperluan dan kebiasaan mereka, tidak kira genre permainan yang dimainkan.
Sama seperti aksesori-aksesori Superlight lain sebelum ini juga, ia hadir dengan pilihan dua sambungan nirwayar melalui sambungan “Superlight” yang menggunakan isyarat WiFi dengan masa pendam yang terendah, Bluetooth dan juga sambungan berwayar.

Logitech G304 X Superlight juga hadir dengan tempoh penggunaan 130 jam dengan satu pengecasan penuh, dan boleh dicas menggunakan kabel USB Type-C. Pengecasan dua minit sahaja membolehkan tetikus ini digunakan selama 3.5 jam secara berterusan, membolehkan anda untuk mengecas tetikus ini dengan cepat tetapi masih boleh digunakan untuk sesi gaming yang lama.
Binaan tetikus ini yang hadir dengan berat 57gram sahaja, yang mana 51 peratus daripada binaannya menggunakan plastik yang dikitar semula. Dalam pada itu, untuk memudahkan proses membaiki tetikus ini, bahagian skru tetikus ini dibiarkan terbuka untuk memudahkan akses menggantikan komponen seperti bateri dan juga suis yang terbina.

Papan kekunci mekanikal Logitech G316 X 98 pula adalah aksesori papan kekunci gaming yang hadir dengan rekaan 98% yang mana bahagian tengah atau cluster navigation dibuang, meninggalkan bahagian utama dan juga pad nombor. Kadang-kala, untuk sesetengah gamer, mereka biasa menggunakan bahagian pad nombor sebagai bahagian input kawalan dalam permainan, manakala untuk golongan profesional pula, nombor di bahagian tersebut lebih mudah untuk ditekan berbanding dengan nombor di bahagian atas.

Dari segi struktur pula, Logitech G316 X 98 hadir menggunakan binaan gasket mount yang memberi pengguna pengalaman menaip yang lebih lembut dan selesa, khususnya untuk jangka masa yang panjang. Bunyi yang dihasilkan juga sedap didengari dan tidak terlalu kuat.
Di bahagian atas papan kekunci ini juga adalah tombol dan skrin dot matrix yang boleh dimanfaatkan untuk menukar pelbagai jenis tetapan pada papan kekunci, termasuklah kelantangan audio, kecerahan pencahayaan RGB papan kekunci dan lain-lain.

Suis papan kekunci ini juga boleh dicabut dan ditukar dengan suis lima kaki kegemaran anda sendiri. Logitech juga menyediakan beberapa penutup suis kekunci yang boleh digunakan untuk menyesuaikan papan kekunci ini mengikut kesukaan anda sendiri.
Logitech Malaysia mengatakan bahawa kedua-dua aksesori gaming ini akan mula ditawarkan di Malaysia bermula 21 Jun 2026 pada tanda harga berikut:
- Logitech G304 X Superlight – RM339
- Logitech G316 X 98 – RM399

