Honor secara rasmi mengumumkan bahawa pelancaran siri Honor 400 di Malaysia akan berlangsung pada 22 Mei 2025. Siri ini berpotensi menjadi penerus kepada siri nombor mereka, yang menumpukan kepada aspek rekaan, prestasi, dan sistem kamera. Peranti baharu ini juga akan menerima peningkatan serta perubahan ketara berbanding generasi sebelumnya.

Salah satu ciri utama yang menarik perhatian ialah teknologi kecerdasan buatan (AI) khususnya AI Image-to-Video yang dibangunkan dengan kerjasama Google Cloud. Dengan teknologi ini, gambar pegun boleh ditukar kepada video berdurasi lima saat dalam format MP4 bagi memberikan pengalaman visual yang lebih hidup kepada pengguna.

Selain AI Image-to-Video, siri Honor 400 turut dilengkapi dengan beberapa alat suntingan gambar berasaskan AI lain termasuk AI Eraser, AI Cutout, AI Upscale, dan Moving Photo Collage. Dalam masa yang sama, peranti ini hadir dengan kamera utama beresolusi 200MP yang menawarkan peningkatan ketara berbanding kamera 50MP pada siri Honor 200.





