Pendapatan hartanah bersih Sunway REIT pada 1QFY25 naik kepada RM130.5 juta

Business & FinanceProperty
14 May 2025 • 5:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan hartanah bersih Sunway REIT pada 1QFY25 naik kepada RM130.5 juta

image is not available

14/05/2025 - 17:57

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) mencatatkan peningkatan pendapatan hartanah bersih (NPI) kepada RM157.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) berbanding RM130.5 juta tahun lalu, disokong sumbangan suku tahun penuh daripada aset yang diperoleh pada 2024, serta pembukaan semula presint Oasis di Sunway Pyramid Mall pada 1 November 2024.

Hasil suku tahunan meningkat 23% kepada RM218.9 juta daripada RM178.6 juta tahun lalu manakala untung bersih naik kepada RM104.32 juta berbanding RM86.9 juta pada 1QFY24.

Segmen runcit mencatatkan prestasi kukuh pada 1QFY25, dengan hasil meningkat sebanyak 33% kepada RM168.4 juta, berbanding RM126.3 juta pada 1QFY24.

"Pertumbuhan memberangsangkan ini didorong sumbangan daripada aset yang diperoleh pada 2024, iaitu Sunway 163 Mall, Sunway Kluang Mall, dan enam pasar raya besar Giant, serta penyiapan ruang Oasis di Sunway Pyramid Mall," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Pada 1QFY25, segmen hotel mencatatkan penurunan hasil sebanyak 16% kepada RM16.1 juta, berbanding RM19.1 juta pada 1QFY24, disebabkan kadar penginapan yang lebih rendah dan ia dikaitkan dengan permintaan lemah untuk aktiviti percutian dan acara-acara korporat seperti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) semasa bulan Ramadan.

Segmen pejabat mencatatkan penurunan hasil sederhana sebanyak 4% kepada RM20.4 juta dalam 1QFY25, terutamanya disebabkan penurunan kadar penghunian di Sunway Putra Tower, berikutan pemindahan penyewa utama pada 2QFY24.

"Segmen perkhidmatan merekodkan hasil sebanyak RM9.8 juta untuk 1QFY25, meningkat sebanyak 2% berbanding 1QFY24, susulan semakan semula sewaan tahunan mengikut perjanjian pajakan induk," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Clement Chen berkata, pihaknya berbesar hati kerana Sunway REIT berada di landasan pertumbuhan yang memberangsangkan pada 1QFY25.

Beliau berkata, prestasinya dipertingkatkan sumbangan penuh sepanjang suku daripada aset yang diperoleh pada tahun 2024, dengan hasil dan NPI masing-masing mencatatkan peningkatan sekurang-kurangnya 20%.

“Kami juga teruja untuk memaklumkan bahawa fasa akhir kerja naik taraf di Sunway Carnival Mall telah siap dua bulan lebih awal, iaitu pada 7 Mei 2025, berbanding jadual asal pada Julai 2025.

"Penyempurnaan fasa akhir ini amat penting kerana ia melibatkan jumlah penyewa yang paling banyak, dan dijangka akan meningkatkan lagi NPI Sunway Carnival Mall dalam suku-suku akan datang.

"Ia juga menandakan selesainya projek pengembangan dan pembaharuan semula bernilai RM800 juta Sunway Carnival Mall yang telah dilaksanakan selama tujuh tahun, sekali gus menetapkan kedudukannya sebagai pusat beli-belah wajib kunjung di tanah besar Pulau Pinang," katanya. - DagangNews.com

standard