Dua peranti boleh-pakai baharu Huawei Watch 4 dan Watch 4 Pro turut ditawarkan secara rasmi di Malaysia. Secara umumnya kedua-dua peranti dilihat hampir sama cuma ada beberap perbezaan kecil, iaitu berat, bahan binaan, jenis tali dan ketahanan bateri.

Bermula dengan Huawei Watch 4 Pro, binaan tubuhnya diperbuat daripada bahan Titanium Gred Aeroangkasa, sementara itu tali pula sejenis kulit bewarna coklat gelap. Skrin adalah sebesar 1.5-inci sejenis LTPO AMOLED beresolusi 466 × 466 piksel. Turut diberikan sokongan ciri kesihatan dan kecergasan standard yang merangkumi ECG, kadar degupan jantung, pola waktu tidur, SpO, tahap tekanan harian dan lebih 100 mod sukan terbina termasuklah menyelam. Kapasiti bateri pula diiklankan mampu bertahan 4.5 hari (standard), 12 hari (biasa) dan maksimum 21 hari dengan syarat tertentu.

Seterusnya Huawei Watch 4 pula kebanyakan perkakasan dalamannya adalah sama dengan variasi Pro. Namun ia lebih ringan dengan binaan tubuh daripada keluli tahan karat bersama tali Fluoroelastomer bewarna hitam. Seterusnya jam tangan juga boleh bertahan sehingga 3 hari dengan penggunaan standard Kemudiaannya meningkat kepada 8 hari untuk penggunaan biasa dan sehingga dua minggu pula dengan syarat tertentu.

Anda yang berminat boleh mendapatkan Huawei Watch 4 dengan harga jualan RM1,999, sementara itu Huawei Watch 4 Pro pula berharga RM2,499. Ketersediaan adalah bermula sekarang menerusi pengedar sah Huawei di seluruh Malaysia, sama ada secara dalam mahupun luar talian.

