
Sebelum Litar Antarabangsa Sepang dibina dan sebelum dunia mengenali nama Valentino Rossi sebagai ikon MotoGP, satu perlumbaan di Malaysia menjadi titik mula kariernya di pentas dunia. Dan perlumbaan itu berlangsung bukan di litar moden, tetapi di Litar Batu 3, Shah Alam.
Tahun 1996, seorang remaja Itali berusia 17 tahun, mewakili pasukan Scuderia AGV Aprilia, turun ke litar untuk perlumbaan pertama musim Kejuaraan Dunia 125cc. Itulah kali pertama Valentino Rossi bertanding dalam perlumbaan Grand Prix di luar Eropah dan Malaysia menjadi saksi permulaan sebuah legenda.
Litar Batu 3, ketika itu berstatus antara yang terbaik di Asia, merupakan gelanggang perlumbaan yang sempit, penuh teknikal dan mencabar. Dengan 14 selekoh dan suasana tropika yang lembap dan panas, ia bukan tempat yang mesra untuk pendatang baharu. Namun di sinilah Rossi membuktikan bakatnya. Beliau menamatkan perlumbaan di tempat ke-6, satu pencapaian memberangsangkan untuk pelumba ‘rookie’ dalam musim pertamanya.
Walaupun tidak menaiki podium, aksi Rossi yang penuh kawalan dan keberanian mula menarik perhatian ramai. Gaya tunggangan agresif dan ‘natural racing instinct’ beliau menonjol walaupun jentera masih belum sehebat pesaingnya.
Hari ini, ramai mengenali Sepang sebagai pusat permotoran Malaysia. Tetapi generasi peminat lama tidak akan lupa bahawa Litar Batu 3 pernah menjadi pentas utama MotoGP dan tempat di mana seorang juara dunia sembilan kali menjejakkan kaki buat kali pertama dalam karier GP-nya.
Kini, Batu 3 telah lama ditutup dan tidak lagi digunakan. Sebahagian besar kawasan itu diganti dengan taman perumahan dan ada sebahagian kawasan ditumbuhi semak, pagar berkarat yang hanya tinggal kenangan. Namun buat mereka yang mengikuti sejarah permotoran Malaysia, Batu 3 tetap hidup di dalam deruman enjin dua lejang, dalam semangat pelumba-pelumba lama dan dalam memori awal seorang legenda bernama Valentino Rossi.
Kisah sejarah lagenda VR46 tidak bermula di pentas besar, ia bermula di tempat bernama Litar Batu 3 Speedway.
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Siri Nostalgia Litar Batu 3 : Permulaan Kisah Lagenda VR46 appeared first on TW Media.

