Berbaki kurang seminggu sebelum pelacaran rasmi siri Find X8, Oppo dilihat berkongsi rekabentuk peranti penuhnya melalui laman web rasmi. Dua model disediakan terdiri dengan Find X8 dan Find X8 Pro yang juga mengesahkan penggunaan sistem kamera Hasselblad seperti beberapa generasi sebelum ini.

Penjenamaan itu dapat dilihat pada bonggol kamera bulat di belakang yang meletakkan antara tiga dan empat kamera bergantung pada jenis model. Find X8 menggunakan tubuh yang rata sepenuhnya di bahagian hadapan dan belakang. Boleh dikatakan mirip dengan telefon terkini Apple, yang juga semakin menjadi trend dalam kebanyakan pengeluar Android ketika ini.

Ia juga memiliki tubuh bersaiz kompak sebesar 6.59-inci dengan ketebalan hanya 7.85mm dan seberat 193 gram. Oppo melengkapkan lagi peranti dengan butang kuasa dan laras audio di sebelah sisi kanan. Diikuti satu lagi butang Alert Slider di bahagian sisi kiri yang sebelum ini turut pernah digunakan pada siri Find N3. Selain itu dipercayai menawarkan ciri seakan Camera Control pada telefon terkini Apple. Bezel juga semakin nipis membuatkan ia kelihatan dilengkapi panel kaca sepenuhnya.

Find X8 Pro pula menggunakan tubuh melengkung sepenuhnya dengan pilihan warna putih, biru dan hitam. Tubuh adalah setebal 8.24mm dan seberat 215 gram, di samping memuatkan juga skrin sebesar 6.78-inci. Butang kuasa dan laras audio diletakkan di sebelah sisi kanan diikuti dengan butang slider secara bertentangan. Bezel juga semakin nipis membuatkan ia kelihatan dilengkapi panel kaca sepenuhnya.

Oppo tmengesahkan bahawa cip Mediatek Dimensity 9400 akan digunakan pada barisan telefon mercu baharu ini. Selebihnya pula hanya diketahui selepas diumumkan secara rasmi di China pada 24 Oktober akan datang.

