Siri Oppo Find X adalah peranti mercu yang memfokuskan fotografi mereka. Dua model terbaru iaitu Find X8 dan Find X8 Pro akan dilancarkan tidak lama lagi bersama sistem kamera Hasselblad, cip Dimensity 9400, sistem operasi ColorOS 15, ciri AI baharu dan aksesori magnetik yang mesra iPhone. Find X8 kami sudah tahu akan ke Malaysia kerana berada di dalam SIRIM, tetapi Oppo hari ini telah mengesahkan yang Find X8 dan Find X8 Pro akan ditawarkan ke peringkat global.

Ini bermakna, bukan sahaja Find X8 akan ditawarkan di Malaysia tetapi juga Find X8 Pro. Dengan pengumuman ini, Pete Lau menjanjikan yang siri Oppo Find X8 ini akan mempunyai sistem kamera Hasselblad Master Camera System prestasi generasi baharu dengan, teknologi bateri lebih hebat dan juga ciri Oppo AI yang lebih bijak. Pete Lau turut menjanjikan yang rekaan Find X8 adalah sangat nipis, sementara Find X8 Pro pula akan mempunyai kemampuan zum di luar jangkaan orang ramai.
Buat masa ini masih tiada sebarang informasi mengenai spesifikasi penuh peranti selain yang tertiris sebelum ini dan juga tarikh pelancaran untuk pasaran global. Sama-sama kita nantikan.
