Siri Oppo Find X8 Tertiris Dengan Ciri Quick Button

TechnologyDigital
29 Aug 2024 • 7:56 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pelbagai spekulasi awal mengenai siri Oppo Find X8 telah didengari termasuklah perubahan rekaan tubuh dan skrin yang dijangka lebih berkotak untuk versi standard. Dalam pada itu versi ultra pula boleh memuatkan bateri berkapasiti besar 6,000mAh di dalam tubuh lebih nipis berbanding pendahulunya. Tetapi kini lain pula ceritanya apabila satu perkongsian di laman X menunjukkan peranti akan datang Oppo itu akan dilengkapi ciri Quick Button dengan fungsi seumpama yang pernah diperkatakan pada iPhone 16.

image is not available

Pada asasnya butang itu mungkin dikhususkan untuk memudahkan penggunaan kamera. Menguatkan lagi dakwaan apabila poster dikongsikan dalam halaman X tadi turut menggunakan tagline ‘Freeze the action, one click away’ yang bermakna butang tersebut boleh digunakan untuk mengawal sejumlah fungsi pada kamera termasuklah kebolehan untuk mengambil gambar, merakam video dan melaraskan tahap zum.

Menurut sumber lagi, Quick Button itu turut boleh menawarkan dua lagi fungsi utama dengan senario penggunaan yang berbeza. Ianya adalah kebolehan memperlihatkan pratonton imej di dalam galeri gambar di samping turut boleh digunakan dalam mod permainan. Ada juga ura-ura mengatakan butang itu adalah dari jenis kapasitif dan diletakkan pada bahagian sisi peranti.

image is not available

Tiada butiran mengenai spesifikasi buat masa ini tetapi kita boleh menjangkakan beberapa penambahbaikan berbanding Find X7. Malahan lebih banyak inovasi juga boleh disertakan untuk menetapkan standard baharu dalam segmen peranti mercu.