Oppo secara rasmi melancarkan telefon mercu terbaharunya Find X9 dan Find X9 Pro di China. Kedua-dua model hadir dengan reka bentuk premium, spesifikasi berkuasa, dan sistem kamera berteknologi tinggi yang menjadikan siri Find X9 sebagai penanda aras baharu dalam dunia peranti mudah alih.

OPPO Find X9 Pro dilengkapi dengan skrin AMOLED 6.78 inci beresolusi FHD+ dan kadar segar semula sehingga 120Hz. Paparan ini menyokong 10-bit warna serta kecerahan maksimum 1800 nits untuk visual yang terang dan jelas. Ia turut dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 9500, dengan pilihan sehingga 16GB RAM dan storan dalaman sehingga 1TB.

Sistem kamera Oppo Find X9 Pro juga mengagumkan dengan kamera utama hasil kerjasama dengan Hasselblad. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP Sony LYT-828 (f/1.5) dengan sokongan OIS, ultra lebar 50MP (f/2.0), telefoto 200MP Hasselblad (f/2.1, OIS) yang menyokong zoom optikal 3x dan zoom digital 120x, serta lensa warna khas. Kamera hadapan pula beresolusi 50MP dan dilengkapi autofokus untuk hasil swafoto yang lebih tajam.

Peranti ini menyokong mod rakaman seperti Professional, Night Mode, XPAN dan rakaman bawah air. Semua kamera boleh merakam video 4K 60FPS dengan Dolby Vision untuk visual yang terang. Kamera utama dan telefoto juga menyokong rakaman sehingga 4K 120FPS untuk gerak perlahan yang lebih lancar. Ia turut dilengkapi bateri 7500mAh dengan pengecasan pantas 80W dan nirwayar 50W.
Oppo dan Hasselblad turut menghasilkan kit fotografi khas. Lensa tambahan ini mempunyai 12 elemen kaca dan meningkatkan zoom optikal 10x untuk gambar, serta zoom digital sehingga 200x. Untuk video, ia menyokong zoom sehingga 50x. Buat masa ini, aksesori ini hanya tersedia untuk model X9 Pro sahaja.

Oppo Find X9 pula mempunyai skrin AMOLED 6.59 inci dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Paparan ini menyokong 10-bit warna dan kecerahan 1800 nits. Ia juga dikuasai oleh cip MediaTek Dimensity 9500 dengan RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.1 untuk prestasi lancar.

Find X9 dilengkapi sistem kamera belakang hasil kerjasama Hasselblad yang terdiri daripada kamera utama 50MP (f/1.6, OIS), ultra lebar 50MP (f/2.0), telefoto 50MP (f/2.6, OIS) dengan zum optikal 3x dan zoom digital sehingga 120x serta lensa warna khas. Kamera hadapan pula beresolusi 32MP sesuai untuk swafoto yang lebih jelas.

Peranti ini menyokong mod rakaman seperti Professional, Night Mode, XPAN dan rakaman bawah air. Ia juga menyokong video sehingga 4K 120FPS, HDR dan rakaman berbilang sudut. Selain itu, ia dilengkapi bateri 7025mAh dengan pengecasan pantas 80W dan nirwayar 50W. Harga jualan penuh kedua-dua model adalah seperti berikut:
Oppo Find X9
- 12 + 256GB – RMB3499 (~RM 2,074)
- 12 + 512GB – RMB4999 (`RM 2,963)
- 16 + 256GB – RMB4699 (~RM 2,786)
- 16 + 512GB – RMB5299 (~RM 3,141)
- 16 + 1TB – RMB5799 (`~RM 3,438)
Oppo Find X9 Pro
- 12 + 256GB – RMB5299 (~RM 3,141)
- 12 + 512GB – RMB5699 (~RM 3,378)
- 16 + 512GB – RMB5999 (~RM 3,556)
- 16 + 1TB – RMB6699 (~RM 3,971)
