
Selepas beberapa kali mengacah kehadirannya, akhirnya REDMI Malaysia mengumumkan tarikh pelancaran rasmi untuk siri baharu REDMI Note 17. Pelancaran itu dijadualkan berlangsung pada 2 September 2026 iaitu hanya beberapa hari selepas pelancaran global.
Siri ini hadir sebagai kesinambungan yang menarik dengan memberi fokus utama terhadap aspek ketahanan. Paling mencuri perhatian, ia bakal menjadi peranti Redmi pertama yang dilengkapi bateri besar 10,000mAh. Penambahan ini sekali gus menandakan segmen telefon dengan bateri berkapasiti besar semakin berkembang pesat dalam pasaran.

Menambah kelebihan tersebut, REDMI turut melengkapkan peranti ini dengan sokongan pengecasan pantas 100W untuk menjadikannya gabungan yang seimbang antara ketahanan dan prestasi. Lebih istimewa, buat pertama kali dalam sejarah siri Note, REDMI akan memperkenalkan model Pro Max yang dijangka menawarkan pengalaman lebih premium kepada para pengguna.

Buat masa ini, tiada spesifikasi lain yang didedahkan. Hal ini bermakna segala maklumat terperinci mengenai ciri dalaman serta harga rasmi di Malaysia hanya akan diumumkan ketika pelancaran kelak.






