Siri CAMON 40 adalah antara keluarga telefon pintar TECNO yang popular. Siri ini biasanya mencabar siri Reno, siri Poco F, siri Redmi Note atau juga vivo V. Di acara MWC 2025, TECNO mengumumkan 4 peranti iaitu CAMON 40 Premier 5G, CAMON 40 Pro 5G, CAMON 40 Pro dan CAMON 40. TECNO ada menawarkan satu ciri menarik yang boleh dinikmati pada semua peranti ini, iaitu butang fizikal tambahan One-Tap Button.
CAMON 40 Premier 5G
CAMON 40 Premier 5G adalah peranti “mercu” untuk TECNO pada tahun ini. Ia adalah yang paling berkuasa dengan skrin AMOLED 144Hz bersaiz 6.67-inci 1.5K, dijana cip Dimensity 8350, menggunakan memori 12GB RAM dengan memori maya 12GB, kamera periskop 50MP + 50MP utama + 50MP 3x zum periskop dan memuatkan speaker stereo Dolby Atmos.

Peranti ini mempunyai butang fizikal AI One-Tap Button, di mana untuk menetapkan fungsi butang ini pengguna akan di bawa ke tetapan seakan Action Button. Butang ini adalah untuk menyeru Ella Voice atau menjadi pengatup untuk mod kamera di dalam air kerana peranti ini menyokong perlindungan IP68/IP69. Bateri peranti adalah 5100mAh dengan pengecasan pantas 70W.

TECNO turut membawakan rekaan premium dengan bonggol kamera bulat gergasi, kemasan seakan kulit, rekaan yang mengekalkan identiti sama untuk semua barisan CAMON 40 dan dibina untuk benar-benar rasa seakan sebuah peranti mercu yang mewah. Ciri fotografi AI unik seperti FlashSnap turut diberikan yang menjanjikan hasil gambar terbaik untuk subjek bergerak pantas yang tidak konsisten. Ciri ini mengambil dan memproses gambar dalam masa 0.52 saat.

CAMON 40 Pro 5G
Kalau CAMON 40 Premier 5G adalah peranti kelas pertengahan premium, CAMON 40 Pro 5G adalah dalam kelas pertengahan biasa. Ia menggunakan teknologi skrin yang sama, cuma sedikit lebih besar iaitu 6.78-inci. Resolusi skrin adalah FHD+, cip pula adalah Dimensity 7300, kamera 50MP+8MP, dan menggunakan memori mencapai 12GB RAM dengan memori maya 12GB.

Untuk bateri peranti ini memuatkan saiz yang lebih besar iaitu 5200mAh tetapi pengecasannya lebih perlahan dengan luasa 45W sahaja. TECNO hanya mengasingkan CAMON 40 Premier sebagai peranti atasan mereka dengan 40 Pro 5G dan ke bawah menggunakan rekaan sama.

TECNO CAMON 40 Pro | CAMON 40
Dua peranti ini berada di dalam kelas pertengahan asas kerana dijana dengan cip Helio G100 Ultimate dan dipadankan dengan memori 8+8 GB RAM. Kedua-dua peranti menggunakan skrin 6.78-inci AMOLED 120Hz, terhad kepada 4G sahaja, kamera adalah 50+8 Megapixel, dan turut mempunyai speaker stereo dengan bateri 5200mAh serta pengecasan 45W.

Perbezaan ketara antara CAMON 40 Pro dan CAMON 40 hanyalah pada pilihan warna peranti dan kamera swafoto. Kesemua peranti di bawah siri CAMON 40 baharu ini turut menjalankan sistem operasi baharu berasaskan Android 15.

TECNO Malaysia menyatakan dua daripada empat peranti ini akan dilancarkan di Malaysia, namun masih tidak disahkan model mana. Mereka turut mengesahkan yang Ella Voice pada peranti ini telah dipertingkatkan dengan DeepSeek, Gemini dan beberapa model lain yang dipakejkan menjadi model TECNO AI.

Siri CAMON 40 oleh TECNO baharu ini turut menyokong perlindungan IP68/IP69, menggunakan kaca Gorilla Glass 7i dan lengkap dengan ciri AI menarik seperti AI Eraser 2.0, AI Perfect Face, AI Sharpness Plus, AI Image Extender, AI Call Assistant dan AI Writing.

Berdasarkan penawaran mereka, TECNO CAMON 40 Premier 5G dilihat mungkin adalah pencabar peranti kelas pertengahan premium pada tahun ini. Apa pendapat anda?
