Sisa toksik perang Gaza mula cemarkan Israel

WorldEnvironment
1 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sisa toksik perang Gaza mula cemarkan Israel

GAZA: Kesan kemusnahan alam sekitar akibat perang di Gaza kini mula menjejaskan Israel, dengan kumbahan tidak dirawat dan runtuhan tercemar berpotensi mengancam sumber air, ekosistem marin serta kesihatan awam negara itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan wakil Lembaga Keamanan awal bulan ini bersetuju menubuhkan kumpulan kerja mengenai sanitasi dan kesihatan awam yang melibatkan Israel serta Gaza. 

Menurut Al Jazeera, keanggotaan dan struktur operasi kumpulan berkenaan bagaimanapun masih belum didedahkan.

Gaza dan Israel berkongsi ekosistem pesisir Mediterranean serta akuifer pantai. Kemusnahan infrastruktur elektrik dan sanitasi di Gaza menyebabkan lebih 100,000 meter padu kumbahan mentah tidak dirawat mengalir ke Laut Mediterranean atau dibuang di daratan setiap hari.

Arus laut di kawasan berkenaan kebanyakannya bergerak dari selatan ke utara, menyebabkan sisa kumbahan itu dibawa sepanjang pantai hingga ke perairan Israel. 

Loji penyahgaraman Ashkelon di selatan Israel juga dilaporkan beberapa kali terpaksa dihentikan akibat pencemaran bakteria najis yang tinggi daripada air kumbahan Gaza.

Kumbahan mentah turut mencetuskan ledakan alga toksik yang boleh menyekat dan merosakkan sistem penapisan loji penyahgaraman, selain mewujudkan zon mati di kawasan yang biasanya menjadi lokasi penangkapan ikan.

Pada masa sama, Israel mula memindahkan sebahagian daripada kira-kira 60 juta tan runtuhan dari Gaza ke lokasi yang tidak didedahkan di Israel dan Tebing Barat. 

Euro-Med Monitor mengesan kira-kira 100 trak Israel sehari meninggalkan Gaza membawa runtuhan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Runtuhan itu berpotensi mengandungi logam berat seperti plumbum, merkuri dan kadmium, bahan kimia industri, zarah fosforus putih, bahan letupan yang tidak meletup serta serat asbestos daripada bangunan yang musnah.

Habuk tercemar dan serat asbestos boleh menjejaskan kualiti udara, manakala bahan letupan yang tersembunyi dalam runtuhan menimbulkan risiko letupan dan pencemaran tanah.

Kumpulan alam sekitar seperti Eco Peace sejak sekian lama memberi amaran perkongsian alam sekitar antara Gaza dan Israel mewujudkan kebergantungan bersama, di mana krisis sanitasi serta pencemaran di Gaza boleh memberi kesan langsung kepada kesihatan awam Israel.

The post Sisa toksik perang Gaza mula cemarkan Israel appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved