Sistem agihan air terawat Kelantan semakin cekap selepas kadar kehilangan air turun kepada 53.5%

7 Sep 2026 • 3:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sistem agihan air terawat Kelantan semakin cekap selepas kadar kehilangan air turun kepada 53.5% Image from: Sistem agihan air terawat Kelantan semakin cekap selepas kadar kehilangan air turun kepada 53.5% liza07/09/2026 - 15:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept – Lebih banyak bekalan air terawat bakal dapat dinikmati pengguna Kelantan selepas kadar air tidak berhasil (NRW) Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) susut kepada 53.5% daripada 55% susulan peningkatan kecekapan sistem bekalan air negeri itu.

 

Penurunan 1.5 mata peratusan itu bermakna jumlah air terawat yang hilang dalam sistem sebelum sampai kepada pengguna semakin berkurangan yang dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengagihan bekalan air.

 

Namun, kerajaan negeri mahu momentum tersebut diteruskan menerusi penggantian paip secara berperingkat serta mempercepatkan projek pembinaan dan naik taraf loji rawatan air (LRA), terutama di kawasan yang kerap mengalami gangguan bekalan.

 

Sehingga Ogos 2026, sebanyak 252.47 kilometer (km) paip telah siap diganti, manakala 54.5 km lagi masih dalam pelaksanaan.

 

Kawasan kerap paip pecah jadi keutamaan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kerja penggantian paip perlu memberi tumpuan kepada lokasi berimpak tinggi, khususnya kawasan yang kerap berlaku paip pecah dan mengalami gangguan berulang.

 

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kerja penambahbaikan infrastruktur memberi kesan langsung terhadap kestabilan bekalan kepada pengguna.

 

“Saya mengarahkan supaya lokasi berimpak tinggi, kawasan yang kerap berlaku paip pecah dan kawasan yang mengalami gangguan berulang diberi keutamaan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan Bersama YAB Menteri Besar di Kota Bharu.

 

Beliau turut meminta kerja penggantian dan pembaikan paip diselaraskan dengan kerja pemulihan jalan, selain memastikan penduduk dimaklumkan lebih awal bagi mengurangkan kesan terhadap pengguna.

 

51 LRA disasar menjelang 2030

Kelantan kini mempunyai 43 LRA dan kerajaan negeri menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 51 menjelang 2030 bagi menambah kapasiti serta meningkatkan keandalan sistem bekalan air negeri.

 

Mohd Nassuruddin berkata, projek pembinaan dan naik taraf LRA perlu dilaksanakan mengikut jadual, dengan isu berkaitan tanah, kelulusan teknikal utiliti, perolehan dan penyelarasan agensi dikenal pasti lebih awal.

 

t

 

Sebarang isu berkenaan juga perlu dibawa kepada jawatankuasa khas untuk membolehkan tindakan penyelesaian dibuat dengan segera.

 

Dalam perkembangan lain, AKSB kini menjalankan kerja membaiki paip Glass-Fibre Reinforced Plastic (GRP) berdiameter 1,000 milimeter (mm) yang pecah dan menjejaskan kira-kira 34,000 akaun pengguna.

 

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Pentadbiran AKSB, Hazwan Hassan berkata, paip berkenaan merupakan saluran air mentah ke Loji Rawatan Air Merbau Chondong.

 

34,000 akaun terjejas akibat paip pecah

Kerosakan itu menyebabkan gangguan bekalan di Machang, Pasir Puteh serta sebahagian kawasan Kota Bharu Timur dan Selatan.

 

Kerja pembaikan yang bermula 5 September dijangka mengambil masa sehingga 13 September, dengan kedudukan paip sehingga empat meter di bawah tanah dan keadaan cerun yang tinggi antara cabaran yang dihadapi.

 

Bagaimanapun, AKSB bersama kontraktor yang dilantik melaksanakan kerja hampir 24 jam sehari bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan.

 

Bagi meringankan kesan terhadap pengguna terjejas, AKSB menggerakkan enam lori tangki miliknya dan lima lori tangki kontrak, selain menerima bantuan 13 lori tangki daripada operator air luar Kelantan.

 

Bantuan itu melibatkan dua lori daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), empat daripada Air Selangor, dua Ranhill SAJ, dua Syarikat Air Terengganu (SATU) serta masing-masing sebuah daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA), Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Berhad (PBAPP).- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved