Semakan gaji minimum perlu kajian serius

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 7:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Semakan gaji minimum perlu kajian serius

KOTA BHARU: Semakan semula gaji minimum RM1,700 sebulan perlu kajian serius berikutan jurang semakin melebar antara kadar itu dengan kos sara hidup sebenar di kebanyakan bandar utama negara.

Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Ahmad Fahme Mohd. Ali berkata, berdasarkan analisis data inflasi terkumpul sejak 2022, kuasa beli RM1,700 ketika ini telah susut antara 15 hingga 20 peratus berbanding nilainya pada 2020.

Katanya, kos sara hidup asas bagi seorang individu di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang pula ketika ini dianggarkan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

“Realiti itu bermakna sebahagian besar pekerja berpendapatan rendah khususnya golongan B40, masih hidup di bawah garis kemiskinan relatif walaupun bekerja sepenuh masa.

“Keadaan ini mewujudkan satu fenomena dikenali sebagai kemiskinan bekerja (working poverty), apabila seseorang masih terperangkap dalam ke­miskinan walaupun mempunyai pekerjaan sepenuh masa.

“Kegagalan mengiktiraf jurang antara gaji minimum dan kos sara hidup sebenar bukan sahaja memperkukuh ketidakadilan sosial malah berisiko mengurangkan produktiviti tenaga kerja akibat tekanan kewangan berpanjangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad Fahme berkata, keadaan itu akhirnya boleh menjejaskan daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang.

Keadaan itu sekali gus mele­takkan Malaysia turut berdepan cabaran ‘perangkap pendapatan sederhana’ melibatkan keperluan menaikkan pendapatan pekerja dan mengekalkan daya saing industri.

Katanya, walaupun kadar gaji minimum Malaysia setanding atau sedikit lebih tinggi berbanding Thailand dan Vietnam, produktiviti tenaga kerja negara masih berada pada tahap sederhana berbanding pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang stabil.

“Singapura pula tidak mengamalkan gaji minimum nasional tetapi mampu mengekalkan daya saing tinggi melalui produktiviti dan inovasi yang mantap.

“Ini menunjukkan Malaysia terjebak dalam dilema struktur apabila gaji terlalu rendah untuk melonjakkan negara ke status berpendapatan tinggi, tetapi terlalu tinggi untuk bersaing secara langsung dengan negara berpendapatan rendah dalam industri padat buruh,” ujarnya.

Ahmad Fahme berkata, sebarang kenaikan gaji minimum tidak boleh dilihat secara terasing, sebaliknya perlu bergerak seiring transformasi produktiviti dan peralihan negara kepada ekonomi bernilai tambah tinggi.

Katanya, pekerja berpendapatan rendah mempunyai kecenderungan marginal untuk berbelanja tinggi yang bermakna setiap tambahan pendapatan lazimnya segera disalurkan kepada perbelanjaan isi rumah dan seterusnya merangsang permintaan domestik.

“Kenaikan upah juga berpotensi meningkatkan motivasi pekerja, mengurangkan kadar pusing ganti pekerja dan menangani fenomena pekerja miskin yang masih terperangkap dalam kitaran hutang walaupun bekerja sepenuh masa,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kadar gaji minimum negara sedang disemak semula bagi menentukan sama ada kadar semasa RM1,700 sebulan dikekalkan atau dinaikkan ke paras baharu.

Kerajaan membuat semakan itu selaras dengan Seksyen 25 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dengan keputusan akhir dijangka dibuat selepas proses penetapan kadar baharu dimuktamadkan oleh Majlis Perundingan Gaji dan Gig Negara (MPGGN).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dilaporkan berkata, semakan kadar itu mengambil kira indikator asas iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan gaji penengah bagi mengukur keperluan asas pekerja serta keupayaan majikan membayar upah.

Selain itu, katanya, kadar itu ditetapkan berdasarkan indikator pelarasan dengan mengambil kira Indeks Harga Pengguna (IHP), produktiviti buruh dan kadar pengangguran. – UTUSAN

The post Semakan gaji minimum perlu kajian serius appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved