Sennheiser ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk produk-produk audio mereka, termasuklah fon kepala, fon telinga dan juga sistem audio yang termasuklah pemancar audio dan juga mikrofon.
Terkini, sistem mikrofon nirwayar digital Sennheiser EW-DX baru sahaja diperkenalkan di pasaran tempatan. Sistem ini terdiri daripada komponen mikrofon, satu unit bodypack dan juga sistem pemancar dwi-saluran dalam format separa 19 inci.

Kelebihan utama sistem mikrofon Sennheiser EW-DX ini ialah ia sangat mudah untuk dipasang, dimana pihak Sennheiser mengatakan semua tetapan mikrofon boleh diubahsuai melalui komponen pemancar audio, dan jurutera audio tidak perlu membelek bodypack untuk menukar tetapan seperti sensitiviti mikrofon, kelantangan audio dan sebagainya.
Jika anda mahukan sebuah sistem mikrofon dengan prestasi yang mantap, Sennheiser EW-DX hadir dengan julat dinamik audio setinggi 134db, masa pendam diantara mikrofon dan pemancar audio serengah 1.9ms dan jangkahayat bateri 12 jam sekiranya anda menggunakan pek bateri boleh dicas semula mereka.

Dengan sistem mikrofon EW-DX ini, ia juga mempunyai ciri-ciri seperti tetapan multi-saluran automatik, pemasangan dan pemantauan mikrofon automatik dan juga penyulitan isyarat menggunakan sistem penyulitan AES-256.
Satu lagi perkara yang menarik ialah secara teknikalnya, sistem mikrofon Sennheiser EW-DX ini memastikan bahawa walaupun seberapa banyak mikrofon yang digunakan, isu herotan intermodulasi (intermodulation distortion) berada pada tahap sifar kerana cara Sennheiser menangani penggunaan spektrum frekuensi radio yang banyak. Malah, apabila banyak penyiar EW-DX digunakan secara sekaligus, sebanyak 90 saluran frekuensi dapat dimanfaatkan untuk kegunaan banyak mikrofon.
Sistem mikrofon Sennheiser EW-DX ini akan dibawa masuk oleh pihak Acoustic & Lighting Sdn Bhd, dan tanda harga untuk sistem ini akan diperlihatkan oleh mereka.
- Sumber
- Sennheiser
