
SERDANG: Sistem Pangkalan Data Nelayan (Padan) diperkenalkan sebagai pangkalan berpusat bagi menghimpunkan maklumat nelayan untuk memudahkan pengurusan bantuan, subsidi dan perancangan kerajaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sistem itu membolehkan semua maklumat nelayan dikumpulkan dan dikemas kini dalam satu portal.
Menurutnya, Padan akan menjadi sumber rujukan tunggal yang membolehkan maklumat nelayan dikenal pasti dengan lebih cepat dan tepat oleh agensi berkaitan.
“Melalui sistem itu, maklumat seperti bantuan, lesen, subsidi minyak dan rekod berkaitan nelayan boleh disemak tanpa memerlukan proses berulang kali.
“Padan juga berpotensi diintegrasikan dengan aplikasi MyMinyak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi mengesahkan kelayakan nelayan sebelum urusan pembelian minyak bersubsidi berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Peluncuran Sistem Padan dan Majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Pemasaran ikan Sabah ke Semenanjung pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di aman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
Dalam perkembangan sama, Mohammad berkata, pihak kerajaan turut memeterai MoU pemasaran ikan Sabah ke Semenanjung bagi memperkukuh bekalan serta membantu meningkatkan pendapatan nelayan tempatan khususnya di negeri Sabah.
Katanya, usaha berkenaan penting kerana harga ikan di Sabah terlalu rendah, sehingga menyukarkan nelayan kecil mendapatkan pulangan yang berbaloi.
“Kerjasama antara Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Widegrowth Marine Products Sdn. Bhd. dan Metro Jaya Seafood Sdn. Bhd. itu melibatkan pembekalan hasil perikanan dari Sandakan.
“Sebagai contoh ikan sembilang yang dijual sekitar RM3 sekilogram di Sabah, sedangkan harganya jauh lebih tinggi di pasaran Lembah Klang.
“Kerajaan berharap pemasaran ikan Sabah ke Semenanjung dapat mewujudkan harga lebih baik kepada nelayan, selain menambah bekalan dan menstabilkan harga kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN
The post Sistem Padan satukan data nelayan seluruh Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.




