Sistem pemantauan bersepadu kerajaan pusat, negeri perlu diperkasa bagi pastikan keberkesanan pengurusan air - Muhyiddin
zulfadli
12/10/2023 - 16:29
KUALA LUMPUR 12 Okt - Sistem pemantauan bersepadu antara kerajaan pusat dan negeri perlu diperkasakan bagi memastikan keberkesanan pengurusan air, kata Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata, sebagai usaha memastikan kelestarian sumber air, kerajaan menerusi kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) harus mempergiat proses pembesaran dan menaik taraf loji-loji air di seluruh negara.
Beliau berkata, penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara dapat memastikan pengoperasian loji rawatan air dan pengagihan air yang lancar tanpa gangguan.
Katanya, melalui pemantauan berterusan, punca bekalan air kerap terputus dan sumber air mentah yang tercemar dapat dikenal pasti segera, sekali gus mengurangkan insiden pencemaran.
"Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan mencemari sistem bekalan air menerusi pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
"Pada masa sama, kadar air tidak terhasil (NRW) perlu diberi penekanan khusus. Ini kerana secara puratanya sebanyak 37.2% NRW atau hampir 7 juta liter sehari dibazirkan dengan anggaran kerugian mencecah RM2 bilion setahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini telah menggariskan strategi komprehensif bagi memastikan sumber air sentiasa diurus dengan baik, selamat dan terjamin demi generasi akan datang.
Ini termasuk komitmen untuk mengangkat agenda mentransformasi sektor air menerusi Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040), katanya.
Katanya, SPAN ditubuhkan hampir 17 tahun, tetapi realitinya masalah bekalan air bersih di negara ini masih membelenggu ramai dalam kalangan rakyat, sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
"Pada hakikatnya, akses kepada bekalan air bersih tidak boleh menjadi suatu ‘kemewahan' kepada mana-mana pihak. Secara purata, penggunaan air per kapita harian rakyat di Malaysia adalah tinggi dengan purata 201 liter setiap orang sehari berbanding 165 liter mengikut saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Peningkatan ketara jumlah pengguna harian dan pihak industri tentunya memberikan cabaran besar kepada kerajaan negeri untuk menampung kapasiti penggunaan air di sebalik keterbatasan kewangan kerajaan negeri.
"Justeru, aspek pengurusan sumber air dan bekalan air terawat tidak wajar dipolitikkan kerana ia adalah hak setiap warga Malaysia untuk mendapat bekalan air bersih," katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan segera mencari rumusan menang-menang untuk mengatasi masalah tersebut.
"Bagi saya, pindaan yang hendak dilakukan ini merupakan usaha ke arah mengurangkan karenah birokrasi, namun tumpuan perlu diberikan kepada cara menambah baik kecekapan pengurusan air dan liputan kemudahan bekalan air kepada segenap lapisan masyarakat, tanpa memberikan layanan yang berbeza di antara negeri.
"Kerajaan Pusat haruslah bersikap adil dalam soal penyediaan utiliti asas secara cekap dan berterusan kerana setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bekalan air bersih untuk menjalani kehidupan yang selesa," katanya. - DagangNews.com

