Sistem Penggiliran Pincang: Punca ‘Runner’ Bermaharajalela di PUSPAKOM

LocalPolitics
25 Mar 2025 • 9:15 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Kelemahan dalam sistem penggiliran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dikenal pasti sebagai punca utama kewujudan orang tengah atau ‘runner’ yang menawarkan perkhidmatan mempercepatkan pemeriksaan kenderaan secara tidak sah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan bahawa isu ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan menempatkan pegawai penguat kuasa di semua cawangan PUSPAKOM, sebaliknya memerlukan penambahbaikan dalam sistem tempahan dan penggiliran sedia ada.

Kelemahan Sistem Penggiliran Punca Masalah

image is not available

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

Menurut Anthony Loke, terdapat kelemahan dalam sistem yang membolehkan individu tertentu membuat tempahan slot dalam jumlah yang banyak setiap hari.

"Ada juga yang menggunakan nombor casis yang sama tetapi nombor pendaftaran kenderaan berlainan. Ini yang perlu ditambahbaik oleh PUSPAKOM,” katanya.

Beliau menambah bahawa menempatkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di setiap cawangan bukanlah penyelesaian terbaik kerana ia akan membebankan sumber tenaga kerja agensi berkenaan.

Kes Rasuah Dedahkan Kepincangan Sistem

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang ejen yang dipercayai menerima rasuah kira-kira RM40,000 untuk mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Operasi tangkapan itu dilakukan hasil kerjasama antara SPRM, JPJ Putrajaya dan PUSPAKOM, sekaligus membongkar isu penyalahgunaan sistem tempahan slot pemeriksaan.

Aplikasi MyPUSPAKOM 2.0 Bakal Diperkenalkan

Sebagai langkah membanteras aktiviti tidak sah ini, PUSPAKOM mengumumkan bahawa sistem tempahan dalam talian mereka akan diperbaharui dengan pelancaran MyPUSPAKOM 2.0 yang dijadualkan pada bulan Julai ini.

image is not available

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, berkata aplikasi baharu ini akan dilengkapi ciri keselamatan lebih ketat dan akan diintegrasikan dengan pangkalan data MySIKAP milik JPJ bagi memastikan ketelusan dalam tempahan slot pemeriksaan.

Sumber: HM