
PETALING JAYA: Keselamatan di pintu masuk negara tidak boleh bergantung kepada sistem pengimbas semata-mata sebaliknya perlu diperkukuh dengan penguatkuasaan serta penilaian risiko oleh pegawai bertugas.
Langkah itu sekali gus mengekang ancaman penyeludupan dadah dan kemasukan kontraban.
Ini kerana sistem pengimbas berteknologi tinggi, terutama di pelabuhan dan lapangan terbang, tidak memadai untuk mengekang kemasukan bahan terlarang serta ancaman keselamatan tanpa keupayaan penilaian risiko, selain penguatkuasaan dan risikan yang berkesan.
Pakar Kriminologi dan Keselamatan Sempadan, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zalmizy Hussin berkata, teknologi tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti kepada tenaga manusia dalam sistem keselamatan.
Sebaliknya, katanya, konsep Human-Machine Teaming perlu diterapkan dengan teknologi dan manusia berfungsi sebagai satu pasukan dalam mengesan serta menilai ancaman.
“Teknologi adalah mata kita, manakala tenaga manusia yang terlatih adalah otak dan naluri kita.
“Mesin hanya mengesan sesuatu yang mencurigakan tetapi manusia perlu membuat keputusan, memahami konteks dan menentukan tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, teknologi baharu wajar dipertimbangkan bagi memperkukuh pemeriksaan bagasi kerana modus operandi sindiket semakin kompleks.
Namun pelaksanaannya perlu dibuat berdasarkan penilaian risiko dan tidak semestinya menggantikan keseluruhan sistem sedia ada.
Katanya, sistem X-ray dua dimensi masih relevan untuk tujuan asas tetapi peningkatan teknologi diperlukan bagi memperkukuh keupayaan pengesanan serta mengurangkan risiko kesilapan manusia, terutama apabila jumlah bagasi yang diperiksa tinggi.
“Sudah tiba masanya sistem dinaik taraf secara berperingkat termasuk mempertimbangkan CT Scan 3D dengan pengesanan berasaskan kecerdasan buatan (AI), sistem pengesanan jejak bahan terlarang serta teknologi mengenal pasti bahan dalam bentuk cecair dan serbuk,” katanya.
Menurutnya, teknologi berkenaan perlu digabungkan dengan pangkalan data risikan dan boleh diberikan keutamaan di laluan berisiko tinggi termasuk penerbangan tertentu, bagasi anak kapal serta kargo.
Jelasnya, penambahan teknologi sahaja tidak mencukupi skop pemeriksaan, prosedur operasi standard (SOP) dan latihan anggota tidak disesuaikan dengan bentuk ancaman semasa.
Sementara itu, penganalisis keselamatan, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, teknologi perlu digunakan seiring dengan kekuatan penguatkuasaan dan risikan bagi memastikan setiap ancaman dapat dikenal pasti serta ditangani dengan berkesan.
Katanya, sistem pengimbas yang digunakan di pintu masuk negara juga perlu dinaik taraf secara berterusan bagi mengekalkan keupayaan mengesan ancaman, khususnya apabila sindiket sentiasa mengubah modus operandi.
“Teknologi tidak boleh berdiri sendiri. Kita memerlukan penguatkuasaan, risikan yang mencukupi dan penilaian risiko bagi menentukan kawasan, laluan atau individu yang memerlukan pemeriksaan lebih teliti.
“Mesin pengimbas juga perlu sentiasa dinaik taraf kerana modus operandi sindiket berubah. Namun, teknologi itu mesti disokong anggota yang mempunyai kepakaran untuk menilai dan bertindak berdasarkan maklumat yang diperoleh,” katanya. – UTUSAN
The post Sistem pengimbas perlu disokong penguatkuasaan, risikan appeared first on Utusan Malaysia.






