Apa persepsi sindiket dadah terhadap KLIA?

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 7:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Apa persepsi sindiket dadah terhadap KLIA?

PERSOALAN terhadap penguatkuasaan dan pengesanan aktiviti penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pintu masuk utama negara tidak perlu lagi dibangkitkan berikutan pembongkaran pelbagai siri cubaan yang menemukan lebih satu tan metrik (tan) bunga ganja di sana.

Penemuan dan rampasan yang dibuat oleh pelbagai agensi penguatkuasaan sama ada kerajaan ataupun swasta cukup membuktikan usaha mengesan dan tindakan sebenarnya terus dilakukan.

Bagaimanapun, perkara yang wajar dipersoalkan adalah persepsi sindiket antarabangsa yang menjadikan negara ini khususnya di KLIA sebagai hub pengedaran dadah terutama ke Eropah apabila permintaan terhadap bahan narkotik itu semakin tinggi di sana.

Kemudian, sindiket berkenaan sanggup mengupah keldai-keldai dadah yang bukan sahaja terdiri dari warga tempatan, malah turut disertai oleh warga dari sana untuk datang ke Malaysia bagi mengambil bekalan di sini, sedangkan kesemua bahan itu berasal dari negara jiran.

Persoalan sedemikian timbul apabila jumlah rampasan terutama bunga ganja yang didakwa semakin mendapat permintaan di negara-negara Eropah atas pelbagai faktor dilaporkan meningkat sehingga enam kali ganda bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding tahun lalu.

Berdasarkan laporan-laporan akhbar rampasan dadah tradisional itu oleh Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, sehingga April lalu hampir setengah tan bunga ganja dirampas sementara pada Mei, kira-kira 200 kg lagi ketulan mampat bahan itu ditemukan dalam bagasi.

Kemudian pada Jun lalu, sekurang-kurangnya 653.6 kg bunga ganja dirampas direkodkan dan pada Julai 247.8 kg lagi dilaporkan sebelum Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan 1.35 tan bunga ganja dirampas di KLIA sejak Januari tahun ini.

Justeru, laporan-laporan tersebut juga cukup menunjukkan pihak berkuasa negara ini masih berfungsi dan komited dalam tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang cubaan penyeludupan dadah apatah lagi di pintu sempadan yang membabitkan rangkaian antarabangsa.

Malah, jika pihak berkuasa negara ini gagal mengesan dadah-dadah tersebut, sudah pasti dunia akan mempertikaikan tahap keselamatan dan keseriusan Malaysia dalam menangani sindiket pengedaran barangan terlarang itu seperti mana penemuan dadah cuba dibawa masuk di Jakarta dari KLIA oleh seorang pembantu juruterbang baru-baru ini.

Walaupun ratusan kilogram dadah pernah dirampas pada tahun lalu, cubaan tidak terhenti, tangkapan semakin ramai dan lebih banyak bunga ganja ditemukan tahun ini, mungkin sindiket berkenaan sedang melakukan sesuatu kerana membiarkan kerugian sehingga RM108 juta bukanlah suatu tindakan yang tidak sengaja.

Justeru, perkara tersebut wajar diteliti kerana seandainya dibiarkan berlarutan akan menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan dalam kalangan penumpang di KLIA sama ada warga tempatan mahupun antarabangsa.

Antara perkara-perkara dirisaukan termasuklah tindakan-tindakan penguatkuasaan yang dilakukan dibimbangi menjejaskan kelancaran perjalanan seperti menyebabkan kelewatan atau pembatalan penerbangan.

Tangkapan serta penemuan dadah di sana juga sudah pasti menimbulkan gempar dan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna di lapangan terbang utama itu yang tentu risau sekiranya mereka dijadikan keldai dadah tanpa disedari.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan penglibatan orang dalam dipercayai menjadi salah satu punca peningkatan cubaan penyeludupan bunga ganja melalui KLIA. – UTUSAN

The post Apa persepsi sindiket dadah terhadap KLIA? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved