Sistem PPR Perangkap Keluarga Dalam Kemiskinan Turun-Temurun, Kajian Dedah Keadaan Semakin Membimbangkan

24 May 2026 • 10:35 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sistem PPR Perangkap Keluarga Dalam Kemiskinan Turun-Temurun, Kajian Dedah Keadaan Semakin Membimbangkan

KUALA LUMPUR - Sistem Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang pada asalnya diwujudkan sebagai penempatan sementara untuk keluarga bandar berpendapatan rendah kini dilihat sebagai perangkap kemiskinan jangka panjang kepada ramai penduduk.

Perkara itu didedahkan menerusi satu kajian baharu, yang menyorot peningkatan kerentanan ekonomi serta kemerosotan kualiti hidup di beberapa kawasan perumahan awam utama di Lembah Klang.

Laporan bertajuk From Roof to Resilience mendapati hampir tiga perempat penduduk PPR yang dikaji masih terdedah kepada risiko kejutan kewangan, selain mempunyai simpanan yang terhad dan peluang mobiliti sosial yang rendah.

Kajian berkenaan dijalankan oleh Think City melibatkan 2,884 penduduk daripada 10 komuniti perumahan awam di bawah inisiatif Kita-untuk-Kita (K2K) yang dibiayai Kementerian Kewangan.

Malay Mail melaporkan, hampir 20 peratus isi rumah dilaporkan langsung tidak mempunyai simpanan, manakala 56 peratus lagi hanya memiliki simpanan yang mampu bertahan antara satu hingga tiga bulan.

Kajian itu turut mendedahkan kelemahan struktur yang serius dalam kalangan keluarga penghuni PPR.

Kira-kira 40 peratus isi rumah bergantung kepada seorang pencari nafkah sahaja, manakala hampir satu daripada 10 isi rumah, kebanyakannya melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU) sama sekali tidak mempunyai pencari nafkah.

Kesukaran ekonomi yang berpanjangan juga menyebabkan peningkatan jumlah isi rumah pelbagai generasi apabila datuk nenek, ibu bapa dan anak-anak terus tinggal bersama dalam unit yang sempit walaupun sudah berdekad menetap di bawah program tersebut.

Majoriti responden memaklumkan mereka telah tinggal di perumahan awam selama lebih 30 tahun, manakala hampir separuh isi rumah yang dikaji mempunyai lebih daripada lima ahli keluarga, melebihi purata nasional sekitar empat orang bagi setiap isi rumah.

Menurut laporan itu, keadaan berkenaan menunjukkan generasi yang membesar dalam komuniti perumahan awam gagal mencapai mobiliti sosial dan terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan.

“Lapan daripada 10 lokasi kajian merekodkan isi rumah pelbagai generasi melebihi lima peratus, menunjukkan satu daripada 20 isi rumah berada dalam perangkap kemiskinan di kawasan tersebut,” menurut laporan itu.

Kajian sama turut mendapati taraf hidup di kebanyakan komuniti PPR sama ada kekal statik atau semakin merosot sejak pandemik COVID19.

Antara masalah utama dibangkitkan penduduk ialah isu sampah yang berterusan dan kerosakan kemudahan awam termasuk lif.

Hampir separuh responden turut mengakui mereka mengelakkan penggunaan kemudahan awam bersama kerana faktor kebersihan dan keselamatan, termasuk isu sampah yang didakwa dibuang dari tingkat atas bangunan.

Kerosakan lif yang berulang pula dikatakan menambah beban kos sara hidup, khususnya kepada penghuni yang tinggal di tingkat tinggi.

“Di PPR Bandar Tun Razak misalnya, penduduk mendakwa kos penghantaran tong gas meningkat daripada RM28 kepada RM50 setiap kali lif mengalami kerosakan.

“Malah, kos penghantaran air mineral, makanan dan barangan runcit juga meningkat akibat masalah sama,” menurut laporan itu lagi.

Think City menegaskan, langkah bersifat sementara dan campur tangan secara berasingan tidak mencukupi untuk menangani masalah sistemik yang membelenggu komuniti perumahan awam.

Sehubungan itu, organisasi berkenaan menggesa kerajaan memperluaskan Forum Komuniti (Forkom) yang diterajui komuniti diperkenalkan menerusi inisiatif K2K ke semua projek perumahan awam di seluruh negara.

Laporan tersebut turut mencadangkan supaya pihak berkuasa bekerjasama dengan Forkom bagi mewujudkan pangkalan data menyeluruh berkaitan penduduk rentan, sekali gus membolehkan bantuan kebajikan dan perlindungan sosial disalurkan secara lebih berkesan dan bersasar.

Selain itu, Think City turut menggesa penubuhan satu pasukan petugas nasional peringkat tinggi bagi menilai semula perbelanjaan awam serta merangka pelan hala tuju jangka panjang untuk mentransformasikan sektor perumahan awam negara.

Ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad pada tahun 2009, Think Citymemberi tumpuan kepada usaha penjanaan semula bandar, penyelidikan dasar serta pembangunan komuniti demi mewujudkan bandar yang lebih mampan dan selesa didiami di Malaysia. - Getaran, 24 Mei 2026

View Original Article